Webmaster 2

Webmaster 2

 

UUM ONLINE: Kuala Lumpur - Meskipun lahir sebagai anak tunggal, namun kesusahan hidup yang dilalui mendorong graduan Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa, Shashivarmaan Thevaraj untuk cemerlang dalam akademik dan kokurikulum hingga diiktiraf Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) yang menganugerahkan Anugerah Pingat Tunku Emas bagi tahun 2021, baru-baru ini.

Pencapaian anak muda berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan itu menjadikannya alumni pertama Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menerima anugerah tersebut, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 dan Geran Program Komuniti sebanyak RM10,000.

Bercerita tentang kejayaannya, Shahivarmaan, 24, berkata, dia berasal dari keluarga susah yang mana bapanya bekerja sebagai pengawal keselamatan, manakala ibunya bekerja di kilang memberinya semangat untuk belajar bersungguh-sungguh dengan harapan dapat mengubah nasib keluarga menjadi lebih baik pada masa hadapan.

"Sepanjang berada di universiti, saya berusaha untuk mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang dan usaha saya berbaloi kerana berjaya mendapat Anugerah Dekan pada setiap semester.

"Selain memastikan keputusan akademik cemerlang, saya juga terlibat aktif dalam aktiviti kokurikulum seperti program kepimpinan yang dianjurkan Yayasan Tunku Abdul Rahman sendiri. Malah, saya juga berpeluang menjalankan kajian bersama seorang penyelidik tentang isu tanpa kerakyatan (stateless) di Malaysia untuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia," katanya.

Berkat kesungguhan dan sikap tidak berputus asa Shahivarmaan itu juga, dia terpilih mewakili Malaysia ke Program Young South East Asian Leaders Initiative (YSEALI) di Amerika Syarikat, baru baru ini.

Anak muda yang merupakan penerima biasiswa Yayasan Tunku Abdul Rahman itu turut merakamkan penghargaan kepada pensyarah UUM, rakan-rakan dan juga pihak yayasan kerana memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepadanya sehingga beroleh kejayaan tidak ternilai.

"Semestinya tidak dilupakan pengorbanan ibu bapa saya dan juga nenek serta ibu saudara yang membesarkan saya sejak kecil lagi," ujarnya.

Anugerah Pingat Tunku meraikan graduan holistik dari universiti awam tempatan di Malaysia di peringkat Ijazah Sarjana Muda yang menunjukkan kecemerlangan dari segi akademik,daya kepimpinan dan sikap serta keperibadian mulia serta mencontohi nilai murni Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Anugerah tersebut telah disampaikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YTAR, Datin Seri Sharifah Menyalara Hussein dan Pemangku Ketua Eksekutif YTAR, Ida Thien.

Turut menerima anugerah tersebut bagi kategori perak dan gangsa ialah dua alumni dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan seorang dari Universiti Putra Malaysia.

 

 

 

 Oleh : Siti Nor Faizah Binti Mohd Basir

SINTOK, 23 November – Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar telah memenuhi jemputan ke pembukaan cawangan baharu Restoran  Secret Recipe oleh alumni UUM yang bertempat di Hutan Kampung, Kedah baru-baru ini.

Lebih membanggakan lagi apabila diusianya yang baru menginjak ke angka 24 tahun dan baru sahaja menamatkan pengajian telah berani mengambil risiko dengan membuka cawangan Restoran Secret Recipe dibawah kendalian beliau sendiri.

Mohd Aizal Shahrizal Mohd Zaini Alumni UUM, merupakan seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (2022) yang baru sahaja menamatkan pembelajaran beliau baru-baru ini.

“Semasa zaman belajar dahulu, saya pernah menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dengan menjual kek pisang di dalam universiti dan alhamdulillah apabila sudah tamat belajar keluarga saya memberi dorongan kepada saya untuk mencuba membuka sebuah cawangan Restoran Secret Recipe dan insyaallah saya akan membuka dua lagi cawangan Restoran Secret Recipe di Daerah Pendang dan Alor Star.” katanya.

Beliau menceburi bidang makanan dan minuman (F&B) kerana minat beliau yang mendalam dalam perniagaan. Beliau juga berharap agar mahasiswa yang mempunyai minat menceburi bidang perniagaan harus berani mengorak langkah mengambil risiko mencuba sesuatu yang baharu.

Turut hadir dalam majlis perasmian cawangan baharu Restoran Secret Recipe itu ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

 

 

 

 

 

Wednesday, 16 November 2022 10:59

BERJAYA BERKAT DOA IBU AYAH

 

 

 UUM ONLINE: Ibu anugerah terindah kiriman Allah buat setiap insan, apa jua kejayaan dan kebaikan dikecapi pada hari ini berkat doa dari insan bernama ibu dan ayah. Hargailah ibu ayah selagi mereka ada di dunia ini.

Begitulah pegangan graduan Sarjana Sastera Pengajian Kenegaraan, Azizul Bachok, 44, yang percaya dengan berkat doa mustajab ibu ayah jualah beliau berjaya memperoleh keputusan cemerlang mencapai purata mata gred kumulatif (CGPA) 4.0.

Keputusan terbaik itu diraikan bersama ahli keluarga apabila beliau menerima ijazah daripada Pro-Canselor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sułtan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah di sesi ketiga, Majlis Konvokesyen Ke-34 Universiti Utara Malaysia (UUM), di Dewan Mu’adzam Shah, petang tadi.

“Alhamdulillah, perasaan amat teruja dan lebih manis dikongsi bersama isteri, anak-anak, abah tercinta dan keluarga pada masa sama saya berasa sebak kerana momen ini tidak dapat dikongsi bersama arwah ibu yang kembali ke rahmatullah, baru-baru ini,” kongsinya.

Diimbas kembali momen terakhir bersama arwah ibu, Hajah Hajizah Ibrahim ketika tenat di hospital, tiada lagi gelak tawa, usik mengusik suara yang dirindui kedengaran ekoran tahap kesihatan kian merosot hari demi hari. 

“Hati terdetik mungkin ini Ramadan yang terakhir ibu bersama kami lalu membawanya pulang ke rumah dan menjaganya sehingga denyut nafas yang terakhir.  Sesungguhnya Allah lebih menyayangi syurga kami, tangal 5 Ramadan 1443 Hijrah di usia 76 menjadi detik yang dikenang sampai akhir hayat kami, al-Fatihah buat ibu.

“Perubahan dari yang kurang baik kepada sesuatu yang terbaik di kalangan terbaik juga dari tangisan rintihan dan bicaranya dengan Allah. Percayalah, tiada satu pun patah perkataan yang tidak baik keluar dari mulut seorang ibu untuk anak-anak.

“Jadi, hargailah ibu dan ayah anda selagi mereka ada di dunia ini, kekal tenang dan yakin Allah itu Maha Mendengar. Sekiranya ada masalah mengadu pada-Nya terlebih dahulu sebelum meminta bantuan daripada orang lain,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Johor Kawasan Tiram.

Darah politik yang mengalir dalam dirinya juga hasil semangat yang ada pada ayah dan arwah ibu kerana dididik melakukan kerja kemasyarakatan semasa menuntut di peringkat sarjana muda Teknologi Maklumat pada 1997 juga di universiti ini.

“Setiap kali cuti semester, sayalah yang membantu kerja di belakang tabir sama ada tugas melibatkan komputer mahupun kemasyarakatan.

“Pesanannya tersemat kukuh di sanubari, sentiasa berbuat baik pada semua orang, bantu insan lain sedaya dan semampu kita serta jadilah pemimpin yang memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.

Jelasnya, niat melanjutkan pelajaran di UUM ini hasil cetusan Ketua Pengarah di Jabatan Hal Ehwal Khas yang membuka ruang dan peluang pegawainya melangkah ke hadapan dari segi akademik.

“Peluang diambil walaupun kami perlu mengimbangi tanggungjawab selaku pelajar dan amanah selaku penjawat awam. Saya ingin melihat generasi muda terus menjadikan pendidikan itu keutamaan dalam hidup.

“Pendidikan itu banyak cabangnya termasuk kemahiran. Pendidikan ini yang akan menjadi teman kita pada masa akan datang, ilmu yang kita perolehi ini akan berpanjangan. Kalau tak hari ini kita guna, mungkin 10 atau 20 tahun akan datang baru kita nampak akan pentingnya ilmu berkenaan.

Mengimbangi antara kerjaya dan pengajian katanya, pengurusan masa dan displin amat penting kerana Tuhan memberi kita masa yang sama iaitu 24 jam justeru kita perlu bijak merancang dalam membahagikan masa sebaik mungkin. Kita merancang dan Allah sebaik-baik perancang.

Bercerita lanjut, bidang pengajian Sarjana Sastera Pengajian Kenegaraan membuka minda selaku pelajar tentang susur galur sejarah pembinaan sebuah negara bangsa yang seharusnya menjadi panduan generasi akan datang supaya sejarah itu tidak dipinggirkan walaupun arus pembangunan dan pemodenan terus berlaku.

 

 

Monday, 07 November 2022 09:07

AZMEER SELARIKAN AKADEMIK DAN SENI

 

UUM ONLINE: Melihat kepada situasi Allahyarham Tan Sri P Ramlee walaupun banyak menghasilkan filem dan lagu namun tidak banyak dokumentasi dihasilkan telah membuka hati Azmeer untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Azmeer atau nama sebenar, Mohd Azhar Abu Bakar, mengambil keputusan berkenaan kerana mengagumi seniman agung itu dengan menyambung pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) ke peringkat doktor falsafah dalam bidang Pengurusan Industri Kreatif Warisan Budaya demi memberi impak pada masyarakat.

Selain dikenali sebagai penggubah lagu, penulis lirik, penerbit muzik dan album, Azmeer turut dikenali sebagai guru vokal dan juri pertandingan yang mempunyai nama besar dalam industri muzik tanah air.

“Saya mula berkecimpung dalam dunia seni sejak 1990-an sampai satu tahap saya rasa perlu memberi sesuatu kepada generasi muda supaya ilmu yang ada dapat dikongsi bersama dan tidak hilang begitu saja. P.Ramlee mempunyai  ilmu yang sangat banyak sayangnya tidak banyak yang didokumenkan atau dibukukan sepanjang  beliau dalam industri.

“1 hari ada 24 jam, saya tanya diri mana keutamaan, nak curah ilmu atau nak buat lagu? Dulu saya hamba seni kalau tak buat kerja seni anak bini tak makan tapi sekarang seni jadi hamba saya bila kerajaan bayar gaji untuk curahkan ilmu, buat lagu bila lapang tapi saya lebih selesa mengajar.

“Dalam kehidupan apa sahaja yang kita buat boleh tersilap, silap dalam muzik dan silap buat lagu tapi ilmu tidak pernah silap,” kongsinya.     

Dalam menyiapkan tesis ini,  beliau mengutip ilmu dan pengalaman daripada artis lejen seperti Datuk M. Nasir, Datuk Jamal Abdillah, Hetty Koes Endang, Dato' Seri Siti Nurhaliza, Misha Omar yang banyak menang anugerah untuk mengetahui apa rahsia kejayaan kekal sampai hari ini supaya dapat digunpakai oleh penggiat seni vokal dan persembahan tanah air.

“Di saat Covid-19 melanda dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan 1 bala dan malapetaka yang dasyat tapi saya bersyukur kerana diberi kelapangan masa. Jam 10 pagi hingga 10 malam siapkan tesis dan isteri suapkan makan.

“Walaupun keadaan saya begini, saya tak percaya orang taipkan jadi saya buat sendiri kerja penyelidikan dengan mencurahkan dari hati nurani. Pernah satu ketika saya buat tesis sampai pecah kerusi kerana duduk terlalu lama 10 jam dan 3 pagi baru melelapkan mata,” katanya. 

Untuk menjadi hebat, belajar dan terus belajar sama ada dari orang lama, kelas bukan sahaja cara nyanyi tetapi cara pengurusan diri dan artis. UUM sebuah universiti pengurusan jadi apa yang kita buat perlu pengurusan kerana tanpa pengurusan peluang gagal adalah tinggi.

Mengulas lanjut perkembangan terkini, beliau sedang menulis buku memaparkan pengalaman hidup bagaimana menjalani hidup sebagai insan, berjaya, disiplin, menghormati orang tua, dan sahabat. 

“Bagaimana teknik nyanyi tanpa sumbang, persembahan yang mengagumkan, ada elemen kekaguman, penonton terpegun, meremang bulu roma saat mendengar lagu jadi apa rahsia dan semuanya ada dalam buku yang bakal diterbitkan nanti. Selain itu saya selesai merakam 30 lagu lagu lama dalam versi baru. Sejarah lagu juga akan dibukukan menerusi kaji selidik contohnya sejarah lagu Suci Dalam Debu yang merupakan cerita sufi.

Buat penggiat seni yang memiliki bakat semula jadi atau yang digilap boleh sama hebat tetapi selarikan dengan ilmu kerana ilmu akademik membetulkan tertib seni yang dipersembahkan kepada khalayak ramai. buatlah kerja seni dengan ikhlas, jangan berkira, berilah bantuan tanpa caj dan gunakan seni untuk kerja amal. hormati semua orang sekalipun tukang cuci.

Menurutnya, berkat doa dan sokongan daripada bapa, Abu Bakar Mohd Ishak dan isteri, Azira Azid serta keluarga tercinta menjadi pembakar semangat untuk berjaya menamatkan perjalanan dalam menimba ilmu.

“Saya sangat bersyukur dapat membanggakan bapa di usianya 87 tahun. Selalunya ayah tengok saya menang anugerah, kali ini dia dapat tengok saya jadi doktor itulah kepuasan melebihi segala-galanya kerana dia, saya dapat melihat matahari, bulan dan segalanya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Ke-34 UUM.

Sementara itu, penyelia beliau, Prof. Madya Ts. Dr. Adzrool Idzwan Ismail berkata, Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) berjaya mengeluarkan graduan sulung doktor falsafah (Pengurusan Industri Kreatif Warisan Budaya).

“Beliau berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh tidak sampai tiga tahun walaupun dalam keadaan kekurangan fizikal tetapi semangat juang yang tinggi, saya sebak melihat kegigihannya termasuk menaip perlahan-lahan,  tidak pernah putus asa dan ada jiwa yang bersungguh-sungguh untuk menyumbang kepada masyarakat.

“Pada saya dia manusia yang merendah diri, tahu meletakkan hormat, adat dan adab pada tempat yang betul pada masa sama dia ketepikan kedudukan yang dimilikinya bila berjaya saya rasa puas, orang lain kena contohi semangatnya. Itulah Azmeer,” katanya. 

 

 

 

 

Page 78 of 99