UUM ONLINE: Disiplin dan bijak menguruskan masa menjadi kunci utama tiga graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berjaya terpilih sebagai penerima anugerah utama universiti pada Majlis Konvokesyen Ke-34 yang berlangsung hari ini.
Mereka ialah Muhammad Idhil Hashim, 24, graduan Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan serta Chuah Jing Ing, 28, graduan Sarjana Muda Pemasaran masing-masing menerima Anugerah Pelajaran Diraja, manakala Muhammad Zairulfikri Zailani, 25, graduan Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan menerima Anugerah Pingat Emas Canselor.
Ketika ditemui, Muhammad Idhil berkata, dia berasa rendah diri untuk menerima anugerah tertinggi itu jika dibandingkan dengan calon graduan lain yang lebih hebat, namun dia tetap panjatkan rasa syukur kerana diberikan rezeki untuk menjadi penerima anugerah tersebut.
Menurutnya, bukan mudah untuk bergelar pelajar universiti kerana perlu bijak membahagikan masa, terutamanya apabila dia aktif dalam aktiviti kebudayaan yang bukan sahaja di peringkat universiti malah antarabangsa.
"Ini adalah cabaran kepada saya untuk membahagikan masa tetapi alhamdulillah saya tidak menghadapi masalah besar untuk uruskan jadual untuk belajar dan juga aktiviti luar dengan sebaiknya kerana saya memegang konsep ‘selalu memberi, Allah akan permudahkan urusan’.
"Sepanjang berada di universiti, saya akan menyediakan nota yang lebih ringkas dan padat hingga menjadi kata kunci mengikut topik agar memudahkan saya faham. Kemudian, nota yang dibuat ini akan dikongsikan bersama rakan-rakan untuk mereka ulang kaji terutama menjelang peperiksaan," katanya yang kini bekerja sebagai pakar pemerolehan bakat di Kuala Lumpur.
Muhamamd Idhil turut memberikan penghargaan kepada ibu bapanya yang tidak pernah berhenti menyokong dan memberi dorongan terutama dalam penglibatan dalam aktiviti kebudayaan di universiti serta tenaga pengajar di Pusat Budaya dan Seni yang banyak membentuk kemenjadian dirinya.
Begitu juga bagi Jing Ing, meskipun aktif mewakili daerah dan negeri dalam permainan catur, keutamaan tetap diberikan kepada pelajaran agar dia tidak ketinggalan.
Menurutnya, sentiasa berdisplin dan pandai mengurus masa merupakan kunci kejayaan untuk memperoleh Anugerah Dekan pada setiap semester, seterusnya menamatkan pengajian dengan Purata Markah Keseluruhan (PMK) 3.88, selain memberi fokus kepada aktiviti atau perkara yang boleh memberi manfaaf, seterusnya boleh diaplikasikan dalam kehidupan pada masa hadapan.
Tambah Jing Ing, ketika belajar, dia mengikut kemampuan diri dengan menggunakan kaedah yang berkesan dan sesuai serta menetapkan matlamat yang boleh dicapai.
"Walaupun telah tamat belajar, saya masih menganggap diri masih belajar bagi memastikan masa depan terjamin. Justeru, saya perlu menguasai kemahiran penting, selain jangan mudah mengalah terhadap kritikan orang lain, sebaliknya jadikan ia sebagai pengajaran.
"Dengan ijazah yang diterima ini, saya merancang untuk membuka perniagaan sendiri, bagaimanapun semuanya masih dalam perancangan dan saya berharap impian ini akan menjadi kenyataan. Yang penting ialah 'be good, do good and you deserve all good things'," kata anak kepada pasangan Chuah Goh Chye dan Lim Sew Lan.
Sementara itu, penerima Anugerah Pingat Emas Canselor, Muhammad Zairulfikri yang bekerja di salah sebuah butik kewangan korporat di Kuala Lumpur menzahirkan rasa bersyukur kepada Allah kerana mengizinkannya untuk menimba ilmu di UUM dan seterusnya menempa kejayaan dan menerima anugerah tersebut.
Berkongsi rahsia kejayaan, anak sulung daripada dua beradik itu berkata, dia sentiasa membantu rakan-rakan yang memerlukan, aktif berpersatuan dan beraktiviti untuk membuka minda dan menambah kenalan, selain berani mengambil peluang seperti dapat mewakili universiti ke Chiang Mai untuk ASEAN Student Leader Forum dan ke Nakhon Si Thammarat untuk pertandingan seminar bersempena IMT-GT Varsity Carnival pada 2019.
"Saya mengimpikan untuk memiliki perniagaan sendiri berkaitan perkhidmatan kewangan, seterusnya dapat berkhidmat kepada masyarakat dan agama dengan sebaiknya," katanya.
Ketiga graduan ini menerima anugerah tersebut yang dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tuanku Canselor pada sesi pertama pagi tadi di Dewan Mu’adzam Shah.
UUM ONLINE: Penggiat seni tanah air, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 51, antara 6,611 mahasiswa yang berjaya menamatkan pengajian dan diraikan pada Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) Ke-34, di Dewan Mu’adzam Shah, pagi tadi.
Graduan Doktor Pengurusan ini melakukan kajian bertajuk Ekosistem dan Dasar Industri Perfileman Malaysia: Satu Kajian Ke Atas Pengantarabangsaan Filem Melayu.
“Saya suka belajar walaupun di luar bidang dan amat meminati bidang pendidikan dan usaha ini lebih kepada khazanah diri demi menjadi seorang yang berilmu. Apabila dapat tawaran menjadi pengarah sambilan di sebuah universiti, saya banyak memberi ceramah dan dari situ terpanggil untuk melanjutkan pelajaran,” ujarnya.
“Bagi saya bila kita minat buat sesuatu, tidak kira sesibuk manapun, masa, kita yang tentukan bukannya masa kawal kita dan dengan sokongan keluarga, sahabat dan pelajar UUM impian kini jadi nyata,” ujarnya.
Selain itu, beliau aktif dalam kerja amal misalnya memiliki pusat vokasional dan sekolah pendidikan khas untuk anak istimewa seperti autisme, disleksia dan sindrom down demi pemerkasaan pendidikan khas.
“Saya sering ke rumah anak-anak istimewa ada antara anak-anak ini didiagnos autism hyper dan disarankan untuk ditempatkan di bahagian psikiatri, agak mengejutkan kerana anak istimewa ini bukan orang kurang siuman.
“Mereka punya keistimewaan tersendiri yang mungkin tidak ada pada manusia biasa seperti kita cuma mereka hanya ada kelemahan tertentu dan berpeluang untuk dipulihkan dengan bantuan pakar terapi dan modul pendidikan khas yang betul.
“Segala kelompongan ini sedang diusahakan untuk ditambah baik demi memastikan anak-anak istimewa ini tidak ketinggalan sama ada dari sudut pendidikan mahupun kemahiran hidup,” katanya.
Minat mendalam mendekati masyarakat mendorongnya turun padang menyantuni golongan yang memerlukan untuk menyampaikan bantuan.
“Sebenarnya, dalam rezeki kita ada rezeki orang lain semoga sumbangan yang dihulurkan sedikit sebanyak meringankan bebanan,” ujarnya.
Jawatan yang pernah disandang seperti Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Timbalan Pengerusi Persatuan Kebajikan Umar Mishary Insani Johor (UMI), dan Penasihat Media Kementerian Komunikasi Dan Multimedia dan Ikon Nasional MyBrain15 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Sepanjang penglibatan dalam dunia hiburan, anugerah yang dirangkul antaranya, Asia Awards 2018 di KOREA Chunsa Film Festival, 2018, Penguasa Kanan Bomba 1 (Kehormat), Pengarah Harapan 2002 – Filem Mr Cinderella dan Pengarah Drama Terbaik Anugerah Skrin TV3 (2002) – Tarantula 1 & 2.
Oleh : SITI NOR FAIZAH BINTI MOHD BASIR
SINTOK, 12 Oktober -Penggunaan elektrik semestinya memerlukan kemahiran dan dan keparan yang terlatih. Hal ini penting bagi mengelakkan sebarang kemungkinan atau risiko yang boleh mengakibatkan berlakunya gangguan elektrik mahupun risiko yang boleh memudaratkan jiwa.
Menyedari hal itu, Pusat Alumni UUM mengambil inisiatif mengadakan satu taklimat dan perkongsian pengalaman berkaitan kemahiran penyelenggaraan elektrik yang baik dan betul.
Pada sesi perkongsian ini, Pusat Alumni telah menjemput Jurutera Elektrik, Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan UUM, Encik Muhammad Zhafran Roslan serta Penolong Jurutera Kanan Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan UUM, Tc. Zahidi Zainol.
Menurut Jurutera Elektrik Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan UUM, Encik Muhammad Zahfran Roslan, “sebarang penyelenggaraan elektrik oleh mana-mana individu perlu mengelakkan diri daripada melakukan sentuhan terus jika tangan atau badan dalam keadaan yang basah”.
Tc. Zahidi Zainol pula berkata, “bagi memastikan keadaan aliran elektrik berada dalam keadaan baik, selamat dan terjamin keselamatannya, pemeriksaan soket dan sebarang peralatan elektrik perlu dijalankan secara berkala di Pusat Alumni mahupun di semua bahagian organisasi besar seperti Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni”.
Tambah beliau lagi, perkara ini wajar dijalankan bagi memastikan semua keadaan melibatkan pendawaian elektrik di semua jabatan HEPA berada dalam keadaan selamat digunakan.
Shah Alam, 29 Oktober - Pusat Alumni UUM hari ini telah mengadakan lawatan jaringan di syarikat pengeluar perabot eksklusif jenama Royal Chesterfield, di Shah Alam.
Pengarah Pusat Alumni, Profesor Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar dalam lawatan tersebut menzahirkan rasa gembira atas kesudian syarikat tersebut menjadi rakan kolaborasi UUM Alumni Privilege Card.
Katanya lagi, “Lebih membanggakan, Pengarah Urusan syarikat perabot Royal Chesterfield ini adalah Alumni UUM, iaitu Encik Suzool Fadhli bin Haji Suradi, yang merupakan pemegang ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (BBA) tahun 1998.”
Royal Chesterfield merupakan syarikat pembekal perabot mewah dan berkualiti yang mempunyai 4 buah cawangan lain di Malaysia iaitu di Kuala Lumpur, Terengganu, Kota Bharu dan Johor.
Para alumni UUM boleh mendapatkan diskaun istimewa daripada Syarikat Royal Chesterfield dengan menunjukkan UUM Alumni Privilege Card semasa membuat pembelian.
Pertemuan tersebut juga membincangkan kerjasama untuk pembangunan pelajar-pelajar UUM, khususnya program kolaborasi dalam bidang keusahawanan.