UUM ONLINE: Putrajaya - Pengiktirafan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang tersenarai sebagai universiti awam kedua terbaik di Malaysia perlu terus diperkukuh dan dikekalkan melalui jaringan hubungan antara UUM dan alumni.
Hal ini kerana setiap alumni mempunyai potensi dan kekuatan masing-masing dalam bidang industri. Justeru, UUM melihat potensi besar bagi para alumni untuk menyalurkan pengalaman dan kepakaran bagi membantu universiti dalam pelbagai cara dan pendekatan.
Menurut Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah, UUM telah diiktiraf sebagai sebuah universiti kedua terbaik, manakala Othman Yeop Graduate School of Bussines (OYAGSB) terus mengekalkan kedudukan sebagai ‘Top Business School’ di negara ini.
Justeru katanya, pencapaian cemerlang itu perlu diperkasakan lagi melalui sumbangan timbal balik yang dimainkan oleh alumni UUM khususnya alumni OYAGSB.
“Saya mempelawa kepada semua alumni untuk bersama-sama dengan UUM dan OYAGSB bagi melipatgandakan usaha, menyalur sumbangan bukan sahaja dari aspek kewangan atau material tetapi juga usaha-usaha memperkukuh program yang ditawarkan oleh OYAGSB.
“Saya yakin, penyertaan alumni akan memberi manfaat besar dan inspirasi kepada pelajar sedia ada untuk berjaya,” katanya.
Berucap di hadapan hampir 100 alumni OYAGSB sempena OYAGSB Alumni Hi-Tea 2022, Haim Hilman turut menyatakan harapan agar para alumni dapat mewujudkan kolaborasi strategik untuk menjayakan pelbagai agenda pembangunan universiti.
“Kita ingin menjadi sebuah universiti yang terbaik di Malaysia. Jika alumni dan UUM berkolaborasi secara strategik, tidak mustahil UUM akan muncul sebagai universiti terbaik di dunia.
“Pencapaian terkini UUM perlu dikekalkan dan ditingkatkan lagi. Manfaatkan kepakaran alumni yang ada. Suatu hari nanti pasti para alumni berbangga kerana kejayaan yang dicapai itu di dalamnya tersimpan hakikat bahawa kita adalah sebahagian daripada cerita kejayaan tersebut,” ujar Haim Hilman.
Sementara itu, Dekan OYAGSB, Prof. Dr. Hassan Abu Bakar berkata, program Hi-Tea Bersama Alumni itu dianjurkan bagi mengukuhkan hubungan semua alumni dengan pihak pengurusan UUM umumnya dan OYAGSB khususnya.
Menurutnya, sebagai sebuah pusat pengajian perniagaan terbaik, hubungan dengan alumni perlu sentiasa disegarkan agar alumni memiliki rasa kekitaan kepada UUM dan OYAGSB.
Tambah Hassan yang juga Provos UUMKL, jaringan bersama alumni merupakan antara pendekatan terbaik dalam memasarkan jenama UUM khususnya OYAGSB.
Pada majlis sama turut dilancarkan Tabung Amanah Alumni OYAGSB serta penyampaian anugerah kepada kepada empat orang alumni iaitu Dr. Mohd Azahani Md Taib, Azua Kamaruddin, Dato’ Dr. Mohd Faudzi Musa dan Norharizan Hussin sebagai tanda pengiktirafan OYAGSB kepada alumni yang paling berjaya mengikut dua kategori yg disenaraikan iaitu ‘Succesful ‘C’ Level Award’ dan ‘Successful Entrepreneur Award’.
Untuk rekod, OYAGSB berjaya menghasilkan 6,278 orang graduan iaitu 3.9 peratus daripada 160,127 jumlah graduan keseluruhan UUM.

