Delegasi Pusat Hubungan Alumni Universiti Malaya Adakan Kunjungan Hormat ke Pusat Alumni UUM
SINTOK, 26 Julai 2026: Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima kunjungan hormat daripada delegasi Pusat Hubungan Alumni Universiti Malaya (UM) yang diketuai oleh Prof. Madya Sr. Dr. Saipol Bari Abd Karim, Pengarah Pusat Hubungan Alumni Universiti Malaya.
Delegasi tersebut telah disambut oleh Timbalan Pengarah Pusat Alumni UUM, Puan Amelia Binti Hakimi, bersama warga Pusat Alumni UUM.
Kunjungan ini bertujuan mengukuhkan hubungan strategik antara kedua-dua institusi di samping berkongsi amalan terbaik dalam pengurusan alumni, pelaksanaan program, strategi memperkasakan jaringan alumni serta inisiatif yang mampu meningkatkan penglibatan alumni dengan universiti.
Timbalan Pengarah Pusat Alumni UUM, Puan Amelia Hakimi, berkata kunjungan seumpama ini merupakan platform terbaik untuk memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi melalui perkongsian pengalaman dan amalan terbaik dalam pengurusan alumni.
“Kami amat mengalu-alukan kunjungan daripada Pusat Hubungan Alumni Universiti Malaya sebagai satu langkah positif dalam memperkukuhkan hubungan antara institusi. Perkongsian idea dan pengalaman seperti ini memberi nilai tambah kepada usaha memperkasakan pengurusan alumni, di samping membuka ruang kepada pelaksanaan program serta kerjasama strategik yang mampu memberi manfaat kepada universiti dan alumni,” katanya.
Sepanjang lawatan, delegasi turut diberikan taklimat mengenai fungsi dan peranan Pusat Alumni UUM serta pelbagai inisiatif yang dilaksanakan bagi memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti alumni.
Sesi perbincangan yang berlangsung dalam suasana mesra dan konstruktif turut membuka ruang untuk pertukaran idea serta penerokaan peluang kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua institusi.
Kunjungan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada hubungan yang lebih erat antara Universiti Utara Malaysia dan Universiti Malaya dalam memperkasa agenda pembangunan alumni serta memperluas jaringan kerjasama strategik.
KUNJUNGAN HORMAT UUM KE MALAYSIA AVIATION GROUP PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK UNIVERSITI-INDUSTRI
Petaling Jaya 17 Julai 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik dengan industri menerusi kunjungan hormat ke Malaysia Aviation Group (MAG) yang memberi tumpuan kepada penerokaan peluang kerjasama dalam pembangunan bakat, kebolehpasaran graduan, penyelidikan serta pemerkasaan ekosistem pendidikan tinggi.
Delegasi UUM telah disambut oleh Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan MAG, Amran Mohd. Tomin, alumni Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan UUM (1996) bersama barisan pengurusan Malaysia Aviation Academy.
Delegasi UUM diwakili oleh Pengarah Pusat Alumni Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar; Pengetua Inapan Siswa Malaysia Airlines (Inasis MAS) Sharima Ruwaida Abbas; Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (CDGEC) Dr. Fikriyah Abdullah, serta Pengerusi Centre for Logistics and Transport (CeLT) Prof. Madya Dr. Rohafiz Sabar dan pelajar Inasis MAS.
Dr. Lily Julienti berkata, pihaknya telah membentangkan cadangan kerjasama yang berpotensi dilaksanakan antara UUM dan MAG.
Antara fokus utama yang dibincangkan ialah inisiatif penjenamaan semula INASIS Malaysia Airlines, peluang endowmen dan sumbangan industri, pembangunan sahsiah serta kompetensi pelajar, peningkatan kebolehpasaran graduan, pembangunan program akademik baharu, latihan profesional, perkongsian kepakaran melalui syarahan industri serta pelaksanaan program-program strategik yang memberi manfaat kepada kedua-dua organisasi.
“Pusat Alumni UUM sentiasa komited memperkukuhkan jaringan strategik bersama alumni dan rakan industri sebagai pemangkin kepada pembangunan universiti serta kebolehpasaran graduan.
“Kunjungan ini bukan sahaja membuka ruang kepada pelbagai bentuk kerjasama yang lebih komprehensif, malah membuktikan bahawa alumni UUM yang kini menerajui organisasi terkemuka terus memainkan peranan penting dalam menyumbang semula kepada alma mater,” katanya.
Delegasi turut berpeluang mengadakan lawatan ke Malaysia Aviation Academy bagi melihat sendiri kemudahan latihan bertaraf dunia yang dimiliki oleh MAG serta merangkumi simulator penerbangan, fasiliti latihan teknikal serta pelbagai kemudahan pembelajaran moden yang menyokong pembangunan modal insan dalam industri penerbangan.
Kunjungan ini mencerminkan komitmen UUM dalam memperkukuhkan hubungan universiti-industri melalui jaringan alumni yang berjaya menerajui organisasi terkemuka.
Kerjasama strategik seumpama ini diyakini mampu membuka lebih banyak peluang kepada pelajar dan graduan UUM dalam aspek pembelajaran berasaskan industri, pembangunan profesional, penyelidikan serta laluan kerjaya.
UUM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Amran Mohd. Tomin dan seluruh warga Malaysia Aviation Group atas layanan mesra, perkongsian pengalaman serta kesediaan meneroka pelbagai bentuk kerjasama yang bakal memberi impak positif kepada pembangunan universiti, industri dan negara.
TABUNG KEBAJIKAN 1 ALUMNI 1 RINGGIT RINGANKAN BEBAN ALUMNI YANG DIUJI
Petaling Jaya, 18 Julai 2026 : Prihatin terhadap kebajikan alumni, Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan kebajikan menerusi program Alumni Care bagi menziarahi Akma Zuraida Abu Hanipah, alumni Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (2005) yang kini sedang menerima rawatan akibat kanser rektum tahap empat.
Program Alumni Care merupakan antara inisiatif berterusan Alumni Centre UUM dalam memastikan kebajikan alumni sentiasa diberi perhatian, khususnya kepada mereka yang berdepan dengan ujian kesihatan, bencana atau kesukaran hidup.
Dalam kesempatan itu, Pengarah Pusat Alumni, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar menzahirkan sokongan moral kepada Akma Zuraida dan keluarga sebagai tanda keprihatinan warga UUM, selain menyampaikan doa agar dipermudahkan urusan serta dikurniakan kesembuhan dalam menghadapi ujian kesihatan yang dialami.
Alumni UUM itu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pusat Alumni atas keprihatinan dan sokongan yang diberikan.
Menurutnya, lawatan tersebut bukan sahaja memberikan bantuan, malah menjadi suntikan semangat untuk terus tabah menghadapi ujian.
“Saya amat bersyukur dan terharu atas keprihatinan yang dizahirkan oleh Pusat Alumni UUM melalui kunjungan ini. Kehadiran pihak universiti bukan sahaja memberikan bantuan, malah menjadi sumber kekuatan dan semangat kepada saya serta keluarga untuk terus tabah menghadapi ujian ini.
“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga alumni yang sentiasa prihatin dan menyumbang melalui Kempen 1 Alumni 1 Ringgit,” katanya.
Sumbangan tabung kebajikan menerusi Kempen 1 Alumni 1 Ringgit, sebuah inisiatif kebajikan yang menggalakkan alumni UUM menyumbang secara sukarela bagi membantu rakan-rakan alumni yang memerlukan. Melalui semangat kebersamaan dan keprihatinan, setiap sumbangan, walaupun kecil, mampu memberi sinar harapan kepada mereka yang sedang diuji.
Sehubungan itu, Pusat Alumni UUM menyeru seluruh warga alumni untuk terus menyokong Kempen 1 Alumni 1 Ringgit agar lebih ramai alumni yang memerlukan dapat dibantu.
Semangat saling membantu dan menyantuni ini diharapkan akan terus memperkukuh ikatan kekeluargaan dalam komuniti alumni UUM serta membuktikan bahawa hubungan sesama alumni kekal utuh walaupun selepas menamatkan pengajian.
KOPERASI HOPENIAGA taja platform pendaftaran MAI BALIK UUM 2.0 bernilai RM20,000
KUALA LUMPUR, 16 Julai 2026: KOPERASI HOPENIAGA telah memberi sumbangan kepakaran serta tajaan pembangunan platform pendaftaran bagi program MAI BALIK UUM 2.0 yang dianggarkan bernilai RM20,000 kepada Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia.
Bagi menghargai komitmen tersebut, satu sesi santai Ngopi & Supper telah diadakan bersama barisan alumni UUM yang menerajui KOPERASI HOPENIAGA iaitu Azman Bidin, alumni Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian (1997); Najdiah Abu Bakar, alumni Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian (1996); Muhammad Zaiem Abu Bakar, alumni Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan Kepujian (1997) dan Safarin Ali@Ismail, selaku pembangun laman sesawang yang memainkan peranan penting dalam membangunkan sistem tempahan program.
Pengarah Pusat Alumni, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar berkata, platform yang dibangunkan ini dijangka memudahkan urusan pendaftaran peserta, pengurusan tempahan serta penyelarasan data tempahan program sepanjang penganjuran program MAI BALIK UUM 2.0, sekali gus meningkatkan kecekapan pengurusan Pusat Alumni.
Menurutnya, selain membincangkan perkembangan platform pendaftaran, pertemuan tersebut turut membuka ruang kepada perbincangan mengenai potensi kerjasama dalam penganjuran program-program berasaskan e-dagang (e-commerce) bagi memperkasakan pembangunan pelajar, alumni dan komuniti.
“Inisiatif ini dilihat mampu menyediakan peluang pembelajaran, pembangunan kemahiran digital serta memperluaskan jaringan keusahawanan dalam kalangan warga UUM,” katanya.
Pusat Alumni UUM berharap kerjasama strategik bersama KOPERASI HOPENIAGA akan terus diperkukuhkan pada masa hadapan bagi menyokong pelaksanaan pelbagai program yang memberi impak kepada universiti, alumni, pelajar dan masyarakat.