Monday, 12 December 2022 13:21

YAYASAN TUNKU ABDUL RAHMAN IKTIRAF ALUMNI UUM

Written by

 

UUM ONLINE: Kuala Lumpur - Meskipun lahir sebagai anak tunggal, namun kesusahan hidup yang dilalui mendorong graduan Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa, Shashivarmaan Thevaraj untuk cemerlang dalam akademik dan kokurikulum hingga diiktiraf Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) yang menganugerahkan Anugerah Pingat Tunku Emas bagi tahun 2021, baru-baru ini.

Pencapaian anak muda berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan itu menjadikannya alumni pertama Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menerima anugerah tersebut, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 dan Geran Program Komuniti sebanyak RM10,000.

Bercerita tentang kejayaannya, Shahivarmaan, 24, berkata, dia berasal dari keluarga susah yang mana bapanya bekerja sebagai pengawal keselamatan, manakala ibunya bekerja di kilang memberinya semangat untuk belajar bersungguh-sungguh dengan harapan dapat mengubah nasib keluarga menjadi lebih baik pada masa hadapan.

"Sepanjang berada di universiti, saya berusaha untuk mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang dan usaha saya berbaloi kerana berjaya mendapat Anugerah Dekan pada setiap semester.

"Selain memastikan keputusan akademik cemerlang, saya juga terlibat aktif dalam aktiviti kokurikulum seperti program kepimpinan yang dianjurkan Yayasan Tunku Abdul Rahman sendiri. Malah, saya juga berpeluang menjalankan kajian bersama seorang penyelidik tentang isu tanpa kerakyatan (stateless) di Malaysia untuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia," katanya.

Berkat kesungguhan dan sikap tidak berputus asa Shahivarmaan itu juga, dia terpilih mewakili Malaysia ke Program Young South East Asian Leaders Initiative (YSEALI) di Amerika Syarikat, baru baru ini.

Anak muda yang merupakan penerima biasiswa Yayasan Tunku Abdul Rahman itu turut merakamkan penghargaan kepada pensyarah UUM, rakan-rakan dan juga pihak yayasan kerana memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepadanya sehingga beroleh kejayaan tidak ternilai.

"Semestinya tidak dilupakan pengorbanan ibu bapa saya dan juga nenek serta ibu saudara yang membesarkan saya sejak kecil lagi," ujarnya.

Anugerah Pingat Tunku meraikan graduan holistik dari universiti awam tempatan di Malaysia di peringkat Ijazah Sarjana Muda yang menunjukkan kecemerlangan dari segi akademik,daya kepimpinan dan sikap serta keperibadian mulia serta mencontohi nilai murni Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Anugerah tersebut telah disampaikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YTAR, Datin Seri Sharifah Menyalara Hussein dan Pemangku Ketua Eksekutif YTAR, Ida Thien.

Turut menerima anugerah tersebut bagi kategori perak dan gangsa ialah dua alumni dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan seorang dari Universiti Putra Malaysia.

 

 

 

Media