Thursday, 22 December 2022 10:20

KEMBALI SETELAH 32 TAHUN TINGGALKAN UUM

Written by

 

Oleh: Siti Nor Faizah Mohd Basir

Gambar Oleh: Pusat Alumni

UUM ONLINE: Biarpun telah lama meninggalkan zaman kampus, namun kecintaan terhadap Universiti Utara Malaysia (UUM) menyatukan 35  alumni bersama-sama keluarga masing-masing untuk kembali ke Sintok bagi memeriahkan Majlis Makan Malam Alumni Homecoming 3rd Batch di Dewan Sri Angsana, EDC-UUM, baru-baru ini.

Kepulangan kumpulan alumni ini adalah salah satu cara menunjukan mereka berbakti kepada alma meter setelah lama meninggalkan UUM iaitu pada tahun 1990.

Pengarah Pusat Alumni, Prof. Madya Dr, Lily Julienti Abu Bakar menyifatkan pertemuan tersebut dapat menyatukan kembali ukhwah yang sekian lama terjalin dan dapat mengekalkan persahabatan yang telah lama dibina sejak 35 tahun dahulu.

"Alhamdulillah, dengan adanya program sebegini kita dapat melihat ramai dalam kalangan kita yang gembira dapat bertemu sahabat-sahabat yang sekian lama ditinggalkan. Saya juga difahamkan bahawa selain pulang ke kampus untuk berjumpa sahabat-handai, alumni juga turut menjalankan usaha sama memberi sumbangan dalam Program Waqaf An-Nur kepada kepada Pusat Alumni UUM bagi tujuan agihan kepada pelajar asnaf.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada alumni kita iaitu Pengurus Besar Waqaf An-Nur Corporation Berhad Johor, Zamri Norani yang juga menaja sumbangan ini sebanyak RM5000 dan tidak lupa kepada semua alumni 3rd Batch kerana sudi menjalankan usaha sama dalam Program Waqaf An-Nur. 

“Saya yakin sumbangan alumni dapat memberi manfaat kepada pelbagai pihak dan tentunya akan membuka lagi ruang ke arah merapatkan lagi hubungan silaturahim antara alumni dengan pelajar,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Program Alumni Homecoming 3rd Batch, Mohd. Idris Omar berkata, dia dan rakan-rakan alumni lain berbesar hati dapat kembali ke UUM.

Menurutnya, dia berharap dengan pertemuan pada malam itu akan mengeratkan lagi ukhwah semua alumni dan pada masa sama dapat mengembalikan sesuatu kepada pihak universiti semula.

 

Media