Kuching-Pusat Alumni, Universiti Utara Malaysia telah menganjurkan satu program AlumniUUM@Komuniti di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road, Kuching, dengan kerjasama Alumni UUM Sarawak (AURAS) dalam usaha membantu pelajar-pelajar Tingkatan Enam melanjutkan pengajian mereka ke Universiti Utara Malaysia (UUM) selepas STPM. Alumni AURAS juga merupakan alumni SMK Green Road itu sendiri. Majlis perasmian program ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed.
Program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan dan bimbingan kepada pelajar mengenai peluang dan persediaan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti, khususnya ke UUM. Selain itu, ia juga bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan antara alumni UUM dan pelajar serta memanfaatkan pengalaman alumni untuk membantu pelajar merancang masa depan mereka.
Program ini turut disertai oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Hisham Zainal Abidin, Pengarah Bahagian Pemasan yang memberikan informasi tentang program yang ditawarkan oleh UUM, fasiliti di kampus, serta menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus. Sesi perkongsian ini disambut baik oleh para pelajar yang hadir, dengan pelbagai soalan diajukan kepada beliau. Kebanyakan pelajar berminat untuk mendapatkan maklumat berkaitan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang yang terdapat di UUM.
Program ini juga menyediakan sesi bimbingan akademik dan membantu pelajar untuk merancang laluan pendidikan mereka bagi yang berminat melanjutkan pengajian di UUM. Pusat Alumni juga berbangga kerana Pengetua SMK Green Road, Encik Faidzul Ahmad merupakan alumni UUM telah sudi berkongsi pengalaman beliau. "Pengalaman belajar di UUM bukan sahaja membuka peluang kerjaya yang luas tetapi juga telah membentuk landasan kejayaannya sebagai seorang pendidik dan pemimpin," ujar beliau.
Sebagai seorang yang memimpin sebuah sekolah menengah yang berprestasi, Encik Faidzul juga berbagi pengalamannya dalam menghadapi cabaran dan mencapai kejayaan. "Pendidikan adalah kunci bagi masa depan negara kita. Sebagai pendidik, kita bertanggung jawab untuk membentuk generasi masa depan yang cemerlang dan berdaya saing," tambahnya.
Keseluruhannya, program komuniti ini berjaya mencapai matlamatnya dalam memberikan motivasi dan panduan kepada pelajar SMK Green Road. Pihak AURAS juga telah mengadakan satu sesi motivasi bersama pelajar sekolah serta merancang untuk menjadikan program ini sebagai acara tahunan, dengan harapan lebih ramai pelajar dari Sarawak akan mendapat manfaat daripadanya dan berjaya melanjutkan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
Program ini bukan sahaja memperlihatkan komitmen alumni dalam menyumbang kembali kepada alma mater mereka, tetapi juga menunjukkan kepentingan kerjasama antara sekolah, alumni, dan pelajar dalam membentuk masa depan yang cerah untuk generasi akan datang.
Kuantan-Dalam semangat kebersamaan dan nostalgia zaman belajar di UUM, alumni dari berbagai tempat di Pahang berkumpul untuk merayakan pertemuan istimewa mereka di Menara 188 Kuantan dalam program MohMakan@Alumni Pahang yang telah dianjurkan oleh Pusat Alumni dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang. Acara tersebut membolehkan semua alumni mengimbas kenangan yang tak terlupakan semasa belajar di UUM serta peluang untuk mempererat ikatan kekeluargaan yang telah terjalin selama bertahun-tahun.
Dengan kehadiran lebih dari 50 alumni dari berbagai bidang dan latar belakang, mereka berkongsi kisah, tawa, dan pencapaian dalam bidang masing-masing. Dari perbincangan santai hingga rencana kolaborasi program mendatang, setiap sudut ruangan dipenuhi dengan energi positif dan semangat persaudaraan.
"Ini luar biasa dapat berkumpul kembali dengan teman-teman lama dan mengingat kembali masa-masa indah kami di UUM," ujar Zamri, seorang alumni yang hadir dalam acara tersebut. "Kami telah meniti jalan yang berbeza dalam hidup kami, namun hari ini kami kembali berjumpa dengan rakan-rakan lama."
Acara tersebut juga menjadi kesempatan bagi Profesor Dr Mohd Fo’ad Sakdan, Naib Canselor UUM untuk mengucapkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang, melalui Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Zulkifli selaku SUK dan Presiden Alumni Pahang Chapter yang telah sudi menaja majlis MohMakan. Disamping itu mengajak para alumni untuk kembali ke UUM melalui Program MAI BALIK UUM yang akan diadakan pada 20-22 September 2024.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Dato’ Abu Seman Awang, Mantan Pendaftar UUM