Oleh : Siti Nor Faizah Binti Mohd Basir
SINTOK, 30 September – Program Khutbah Jumaat #AlumniUUM pada hari ini telah dijayakan oleh Ketua Penolong Pendaftar Jabatan Pendaftar UUM, Encik Abdul Shakur Abdullah.
Program kerjasama antara Pusat Alumni dengan Pusat Islam Universiti Utara Malaysia ini merupakan satu usaha untuk memberi peluang dan ruang kepada para alumni menyumbang kembali kepada universiti, selari dengan motto Ilmu, Budi Bakti.
Abdul Shakur yang merupakan Alumni UUM 2011, Sarjana Sastera (Pengurusan Awam) hadir menyampaikah khutbah jumaat di Masjid Sultan Badlishah yang bertajuk Si Tanggang Moden.
Ikuti rakaman khutbah jumaat ini pada pautan https://youtu.be/fqmJYWTULQ0
SINTOK - Bersempena dengan majlis pengiktirafan kecemerlangan kakitangan HEPA menerusi program HEPA
Golden Appreciation Award 2022 baru-baru ini, satu Anugerah Khas Icon Alumni juga turut diberikan kepada alumni yang banyak memberi sumbangan berbentuk in kind, servis dan kewangan kepada Pusat Alumni.
Majlis penyampaian anugerah itu disempurnakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan Pengarah Pusat Alumni UUM, Profesor Madya. Dr Lily Julienti Abu Bakar.
Penerima Icon Alumni pertama yang menerima anugerah tersebut ialah Puan Norharizan Hj Hussain, Pemegang Francais Restoran makanan segera Marrybrown. Beliau telah dipilih sebulat suara oleh pihak pengurusan HEPA kerana jasa dan bakti beliau yang banyak memberikan sumbangan dalam bentuk barangan makanan dan voucer Marrybrown kepada pelajar UUM terutama semasa musim covid 19 melanda.
Icon Alumni yang seterusnya dipilih adalah Tuan Haji Ramli Mohd Tahir yang merupakan Pengarah Urusan KDEB Waste Management. Beliau juga turutbanyak memberikan sumbangan dari segi kewangan kepada Pusat Alumni terutama bagi tujuan pembangunan pelajar dan kebajikan Alumni.
Timbalan Naib Canselor (HEPA), Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed mengatakan bahawa pihaknya amat terharu dan berbangga atas komitmen yang telah diberikan oleh kedua-dua Icon Alumni tersebut. Beliau juga berharap agar ramai lagi alumni-alumni di luar sana mencontohi komitmen dan sumbangan bakti mereka kepada pihak UUM.
Selain itu beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan terima kasih kepada pihak alumni-alumni yang sudi memberi sumbangan kepada pihak UUM walau sudah lama meninggalkan zaman kampus.
Oleh: Siti Nor Faizah Binti Mohd Basir.
Melaka – Seramai 8 orang staf Pusat Alumni dan 10 orang sukarelawan yang terdiri daripada pelajar UUM telah menyertai program bersama komuniti di Masjid Ar- Rahmah Melaka iaitu pada 25 September baru-baru ini.
Program Komuniti ini juga melibatkan 15 orang alumni-alumni UUM di kawasan Melaka. Program ini juga disertai 130 orang pelajar Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM dan pelajar Kolej Vokasional Melaka Tengah.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang program berlangsung seperti motivasi Dhuha oleh sukarelawan kepada pelajar-pelajar Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM, gotong-royong, pameran agensi dan jom masuk universiti serta pemeriksaan kesihatan percuma.
Selain itu, turut diadakan sesi perkongsian pengalaman di UUM oleh alumni-alumni UUM yang bekerja di Usrah Associates Melaka kepada pelajar-pelajar Kolej Vokasional Melaka Tengah.
Seterusnya, majlis perasmian program yang dirasmikan oleh Pengarah Pusat Alumni UUM, Profesor Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar. Menurut beliau faedah program ini bersifat dua hala yang mana bukan sahaja penduduk setempat dan warga pelajar memperoleh ilmu pengetahuan, malahan pelajar juga dapat meningkatkan kemahiran komunikasi dan pindahan ilmu serta mendapat peluang untuk melibatkan diri secara aktif dengan komuniti.
Menurutnya, menerusi aktiviti komuniti seperti ini juga dapat mengeratkan hubungan diantara alumni-alumni UUM dengan universiti. Di samping dapat berkongsi ilmu bersama-sama dengan masyarakat tentang pengalaman semasa berada di universiti sesuailah dengan motto UUM iaitu Ilmu, Budi dan Bakti.
“Seterusnya, beliau berkata dengan budi yang disemai, berbuatlah bakti kepada masyarakat. Apa guna ilmu dan budi jika kita tak dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara.”
Sementara itu, turut diadakan penyampaian sumbangan kepada pelajar-pelajar asnaf Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM yang berbentuk peralatan sekolah dan sumbangan kepada rakan kolaborasi Pusat Alumni UUM.
Manakala, pada sebelah petangnya pula Pusat Alumni UUM bersama sukarelawan serta alumni-alumni UUM telah mengadakan satu lawatan menyantuni Anak Bangsaku di Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Harapan (PETAH). Dalam lawatan ini, Pusat Alumni telah memberi sumbangan berbentuk minuman petang (KFC) kepada penghuni yang terdiri daripada kanak-kanak yang berusia lingkungan 3 hingga 5 tahun.
Program komuniti ini juga turut mendapat kerjasama penuh daripada ahli jawatankuasa masjid Ar-Rahmah Melaka dan Syarikat Usrah Assocites.
Oleh : Siti Nor Faizah Mohd Basir.
UUM ONLINE: Seramai 64 pelajar Kolej Agama Sultan Abdul Hamid (KASAH) menyertai program Pembangunan Minda Keusahawanan Kontemporari di Universiti Utara Malaysia (UUM) selama dua hari, baru-baru ini.
Program yang disertai oleh pelajar aliran keusahawanan KASAH itu turut melibatkan 5 guru pengiring kolej berkenaan dan 11 fasilitator di kalangan pelajar UUM yang turut sama membantu menjayakan program ini.
Pelbagai aktiviti dan slot menarik diadakan sepanjang program berlangsung seperti slot perkongsian pengalaman usahawan daripada alumni UUM, slot inovasi kreatif usahawan, slot usahawan dan media sosial, permainan sukan golf dan lawatan di sekitar UUM.
Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar berkata, program keusahawanan seumpama ini dapat memupuk minat pelajar untuk terus menceburi bidang keusahawanan kelak di samping melakukan inovasi baharu yang mampu bersaing dengan pasaran luar.
“Atas kesedaran ini, program ini diadakan bagi melahirkan pelajar yang kreatif dalam melakukan inovasi baharu seiring dengan perkembangan teknologi dan saya berharap agar pelajar dapat memanfaatkan ilmu yang mereka perolehi ini sebaik mungkin,” katanya.
Tambahnya, Universiti sedia bekerjasama berkongsi ilmu, kemahiran dan pengalaman dengan agensi luar demi pembangunan agama, bangsa dan negara.
Majlis penutupan program ini yang telah disempurnakan oleh Dr. Lily Julienti turut dihadiri Pengetua KASAH, Mohd Haris Faiza Abd Aziz Al-Hafiz, Timbalan Pengarah Pusat Alumni UUM, Halim Md Yatim, Pengetua Inasis Yayasan Al-Bukhari dan Bank Mualamalat UUM, Mohd Ilyas Soffian.