OLEH : SITI NOR FAIZAH BINTI MOHD BASIR
SINTOK, 14 OKT - Program Khutbah Jumaat #AlumniUUM pada hari ini telah dijayakan oleh Penolong Pegawai Dakwah dan Tarbiah (Kanan), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Ustaz Haji Mohd Isa Haji Abdul Rahman.
Program ini merupakan kerjasama antara Pusat Alumni dan Pusat Islam Universiti Utara Malaysia sebagai satu usaha bagi memberi peluang dan ruang kepada para alumni untuk menyumbang kembali kepada universiti, selari dengan motto UUM iaitu Ilmu, Budi Bakti.
Selain itu, Ustaz Haji Mohd Isa Haji Abdul Rahman yang merupakan Alumni UUM pada tahun 2012 dalam Sarjana Sastera (Pengajian Islam), hadir bagi menyampaikan khutbah jumaat di Masjid Sultan Badlishah yang bertajuk Erat Bertaut Kuat Berpaut.
Sementara itu, dalam khutbahnya beliau berkata sesungguhnya Allah S.W.T menyeru hamba-hambaNya untuk mengeratkan silaturahim sesama manusia kerana ia merupakan satu amalan yang mulia dalam Islam.
“Sesungguhnya menjaga perhubungan sesama makhluk adalah satu kewajipan yang dituntut oleh Allah S.W.T kepada hamba-hambaNya.” katanya.
Turut hadir pada khutbah Jumaat pada ialah Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah.
Ikuti khutbah Jumaat ini di pautan https://youtu.be/aDO0JvqFcBA
SINTOK, 9 Okt - Menyedari kepentingan alumni dalam pembangunan universiti, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menjadikan usaha untuk mengeratkan hubungan alumni dan pelajar sebagai salah satu agenda utama universiti. Pengiktirafan kepada kejayaan alumni merupakan salah satu usaha untuk mencapai objektif UUM.
Oleh itu satu program Alumni Mentoring dan Homecoming of UUM Footballers 2022 telah diadakan bertempat di Dewan Seminar Pusat Islam UUM. Program itu dihadiri oleh 230 orang pelajar dari Pusat Asasi Pengurusan UUM dan 4 panel jemputan serta seorang moderator dari pelbagai latar belakang dalam kalangan alumni UUM.
Antara alumni yang dijemput sebagai moderator pada program itu ialah Pegawai Sumber Manusia Tenaga Nasional Berhad, Tuan Haji Hafidzul Ahmad Jalaludin, seterusnya 4 orang panel iaitu Pengurus Agensi Prudential Assurance Malaysia Berhad, Encik Aznuar Haji Sha’ari serta Pengarah Urusan Qurba Food Manufacturing Sdn. Bhd, Encik Suhaimi Ahmad.
Hadir sama sebagai panel dalam program itu ialah Pengarah Pengurusan Deposit dan Tunai Bank Islam Malaysia Berhad, Tuan Haji Mohd Noor Jab dan Pengarah Bahagian AKI, Seranta dan Saham Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Encik Azmir Musyabri Abdul.
Program tersebut menjadi platform kepada ahli panel untuk berkongsi serba sedikit pengalaman mereka sepanjang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda. Di samping itu, kelima-lima ahli panel turut membincangkan mengenai cabaran yang dihadapi oleh mereka dalam bidang yang mereka ceburi.
Malahan turut diadakan sesi soal jawab diantara para pelajar dan panel mengenai laluan kerjaya mereka.
Pengarah Pusat Alumni UUM, Professor Madya Dr Lily Julienti Abu Bakar berkata, beliau berharap program perkongsian seperti ini dapat dijalankan secara lebih kerap lagi. Beliau juga berkata melalui program ini para alumni dapat berkongsi mengenai pengalaman mereka semasa bergelar pelajar suatu ketika dahulu agar boleh dijadikan motivasi kepada pelajar-pelajar Asasi Pengurusan UUM nanti.
SINTOK, 8 Oktober – Pusat Alumni pada hari ini menerima sumbangan RM6699.99 dalam program Homecoming of UUM Footballers 2022.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Johary Al-Bakry Mohd Haniffa, Ketua Pegawai Strategik My-Sutera Sdn. Bhd. (CANGGIH), pada majlis makan malam sempena program tersebut yang berlangsung di Pusat Sukan UUM.
Johary yang merupakan Alumni UUM menyifatkan sumbangan daripada para alumni yang hadir itu sebagai tanda penghargaan kepada universiti sebagai tempat mereka menuntut ilmu suatu ketika dahulu.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed yang hadir menerima sumbangan tersebut bagi pihak Pusat Alumni menzahirkan rasa terima kasih kepada para alumni atas sumbangan tersebut.
Dr. Ahmad Martadha dalam ucapannya berkata universiti mengalu-alukan sumbangan daripada para alumni dan akan menggunakan untuk pembangunan dan aktiviti pelajar.
SINTOK, 8 Oktober – Sintoqian Soccer Club (SSC) berjaya menewaskan pasukan Legend UUM 2-0 untuk dinobatkan selaku juara pada pertandingan bolasepak alumni universiti sempena program Homecoming of UUM Footballers 2022.
Program yang telah dihadiri seramai 200 orang alumni serta ahli keluarga mereka itu dilangsungkan di Stadium Pusat Sukan UUM.
Pertandingan yang bertujuan bagi mengeratkan lagi ukhwah persahabatan dalam kalangan alumni dan universiti itu, turut disertai 6 pasukan alumni lain, iaitu CARGAS FC (1997), BRO-99 FC (1999), UUM LEGEND (1990), ULLASAM FC (1998), VETERAN UUM FC dan PAUUM FC
Pasukan Sintoqian FC berjaya membawa pulang piala pusingan yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed.
Dr. Ahmad Martadha dalam ucapannya berkata, beliau amat bangga apabila melihat para alumni UUM mampu untuk berkumpul dan mengadakan program seperti ini.
“Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada para alumni yang hadir menjayakan program ini di UUM.” katanya.