Oleh: Siti Nor Faizah Mohd Basir
Gambar Oleh: Pusat Alumni
SINTOK, 2 MAC – Pusat Alumni UUM telah mengadakan lawatan Alumni Care ke atas alumninya, Fairuz Addnan yang terlibat dalam kemalangan jalanraya, baru-baru ini.
Fairuz yang merupakan Alumni UUM tahun 2000 (Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan Kepujian) dan tahun 2016 (Sarjana Sains – Teknologi Maklumat), telah dilanggar oleh sebuah kereta pada 13 Januari lalu di Pekan Changlun, ketika beliau sedang menunggang motorsikal pulang ke rumahnya.
Kemalangan tersebut telah menyebabkan beliau mengalami kecederaan yang serius pada beberapa bahagian tubuh badannya, memaksa beliau terlantar di hospital sehingga sekarang.
Fairuz yang juga merupakan Pegawai Teknologi Maklumat di UUM merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak, khasnya rakan alumni UUM yang mendoakan dan memberikan sokongan serta bantuan kepadanya sekeluarga dalam mengharungi ujian ini.
Lawatan yang dihadiri Timbalan Pengarah Pusat Alumni, Halim Md Yatim itu turut ditemani oleh lima orang alumni tahun 2000, iaitu Pegawai Teknologi Maklumat UUMIT, Hapiz Hussin (Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan Kepujian, dan Sarjana Sains Teknologi Maklumat tahun 2015), Ketua Penolong Setiausaha Darat, Kementerian Pertahanan Malaysia, Leftenan Kolonel Ahmad Fadzil Hassan (Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dengan Kepujian), Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Sanglang, Mohd Shukri Ramli (Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian), Technical Implementation Engineer, Nokia Saudi Networks, Nur Azam Mustaffa (Sarjana Muda Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan Kepujian) dan Nor Aniza Bt Abdul Gani (Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dengan Kepujian).
Oleh: Siti Nor Faizah Mohd Basir
Gambar Oleh: Pusat Alumni
UUM ONLINE: Alor Setar – Universiti Utara Malaysia (UUM) terus menunjukkan keprihatinan terhadap alumninya menerusi kunjungan ‘Alumni Care’ yang diketuai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed ke atas NurulHuda Said yang menghidap kanser paru-paru tahap empat iaitu 'squamous cell carcinoma'.
NurulHuda kini hanya terlantar di atas katil di rumahnya di Kampung Pengkalan Keriang sejak Disember tahun lalu kerana tidak dapat bergerak.
Kedatangan Ahmad Martadha bersama Timbalan Pengarah Pusat Alumni, Halim Md. Yatim dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Huzaidy Hussain serta pegawai lain itu telah disambut ibunya, Zawiah Omar.
Pada pertemuan itu, beliau menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian kepada keluarga NurulHuda.
Ahmad Martadha berkata, beliau berharap sumbangan diberikan UUM itu dapat meringankan bebanan keluarga NurulHuda, selain graduan UUM itu terus diberikan kesabaran dan ketabahan melalui ujian tersebut.
NurulHuda disahkan menghidap kanser itu pada tahun 2021 selepas tamat pengajian di UUM dalam Diploma Pendidikan dan kini hasratnya untuk bergelar seorang guru terpaksa dilupakan.
Ibunya berkata bahawa sel kanser itu sudah merebak ke tulang belakang dan sudah berada di tahap 4 menyebabkan anaknya tidak dapat bergerak.
Yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Shahimi Mohtar yang juga Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan seluruh warga kampus turut mendoakan agar NurulHuda diberikan kesembuhan dan kembali sihat seperti dahulu.
Oleh: Siti Nor Faizah Mohd Basir
Gambar Oleh: Pusat Alumni
SINTOK, 1 MAC – Majlis perasmian Alumni Walk of Fame (WOF), Pusat Alumni UUM yang julung kalinya diadakan ini telah berlangsung dengan jayanya bersama-sama 50 orang tetamu jemputan yang terdiri daripada ketua-ketua pusat dan kakitangan di bawah Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), serta Timbalan-timbalan Dekan HEPA semua pusat pengajian UUM.
Perasmian yang dilangsungkan pada sebelah petang itu telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamad, Timbalan Naib Canselor (HEPA) dengan simbolik memotongan riben tugu Alumni WOF.
Sebagai permulaan, sebanyak enam (6) kategori kumpulan alumni yang dipilih untuk dipaparkan pada majlis tersebut. Antaranya ialah Tokoh Alumni Usahawan, Tokoh Alumni Industry, Tokoh Alumni Antarabangsa, Tokoh Alumni Penerima Anugerah, Tokoh Alumni Sektor Awam dan Tokoh Alumni Ilmu, Budi, Bakti.
Tokoh alumni ini dipilih berdasarkan penglibatan mereka bersama-sama Pusat Alumni dan UUM amnya.
Turut hadir dalam perasmian ini Profesor Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar, Pengarah Pusat Alumni UUM dan Encik Huzaidy Hj Hussain, Pengarah Hal Ehwal Pelajar UUM.
SINTOK, 24 Februari – Program Khutbah #AlumniUUM telah berlangsung pada 24 Februari 2023 baru-baru ini, di Masjid Sultan Badlishah, Universiti Utara Malaysia (UUM). Dr. Ahmad Khilmy bin Abdul Rahim, Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Perniagaan Islam UUM telah hadir menjayakan program ini dengan menyampaikan khutbah yang bertajuk ISRAK MIKRAJ DAN PENGHAYATAN SOLAT.
Dr. Ahmad Khilmy merupakan Alumni UUM tahun 2013 - Doktor Falsafah (Kewangan dan Perbankan Islam).
Ikuti rakaman penuh khutbah pada pautan