Webmaster 2

Webmaster 2

Saturday, 28 October 2023 16:14

MURID SK KAMPUNG KEDA HEBAT BERSAMA UUM

BALING:  Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyantuni murid-murid Sekolah Kebangsaan Kampong Keda (SKKK), baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Pusat Alumni, Halim Md Yatim berkata, program tersebut bertujuan untuk menyampaikan motivasi kepada murid sekolah berkenaan dengan menampilkan alumni UUM, Nor’Ain Karim.

Nor’Ain atau Cikgu Ain merupakan guru di Kolej Agama Sultan Abdul Halim (Maahad Dini) telah berkongsi kata motivasi bagi meningkatkan semangat mereka dalma pelajaran.

Di samping itu, motivasi beliau bertujuan untuk membantu anak-anak tersebut dalam membina diri menjadi insan yang cemerlang dengan membuat aktiviti bersama-sama.

Pelbagai aktiviti dijalankan yang memberi impak positif kepada murid-murid ini, malah mereka sangat responsif dan aktif.

Slot terakhir iaitu refleksi menunjukkan respon positif murid antaranya fokus, bekerjasama dan berusaha bersungguh-sungguh dalam membuat sesuatu perkara.

Selain itu, guru-guru Sekolah Kebangsaan Kampong KEDA juga memberi maklum balas terhadap program ini dan berharap program sebegitu dapat dilaksanakan lagi untuk membantu anak-anak muda sekolah itu.

Turut hadir, Guru besar SKKK, Farid Azizi Md. Noh. – Anis Husna Yahya (Pelajar Praktikum dari SCIMPA)

Thursday, 23 November 2023 10:44

DR ZAIM DINOBAT JOHAN GOLF ALUMNI UUM

 

SINTOK –  Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Za’im Ahmad dinobatkan sebagai  johan dalam kategori alumni Kejohanan Golf Alumni 2023 yang dilangsungkan sempena dengan Majlis Konvekesyen ke-36 UUM anjuran Pusat Alumni dengan kerjasama Kelab Golf Sultan Salehuddin (KGSS).

Dr Zaim yang bermain dengan handikap tujuh bermain berdasarkan sistem stableford menduduki tempat pertama, manakala alumni Muhammad Firdaus Azihan (tempat Kedua) manakala Mohamad Rizal Mohamad Radzi (tempat ketiga).

Pemenang kategori keseluruhan di menangi oleh Pelajar Akademi Golf Nasional (AGN) UUM, Haziq Zamani, manakala pemenang kategori jemputan dan bukan alumni iaitu Amizul Amat manakala kategori pelajar pula di menangi oleh Muhammad Kall Danish Mohd Haikal.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UUM, Tan Sri Datuk Wira Dr Hj Mohd Shukor Hj Mahfar menyampaikan hadiah kepada pemenang kejohanan yang disertai oleh 64 pemain.

Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan ketika ditemui di majlis berkenaan berkata,  Kejohanan Golf Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) mengukuhkan ikatan dan jalinan empat penjuru antara universiti, alumni, pelajar dan industri.

“Program seperti ini pastinya dapat membantu kita semua membina hubungan jaringan kerja di antara universiti dengan alumni dan bukan alumni, yang mana melaluinya kita boleh bekerjasama untuk pembangunan dan manfaat kepada semua pihak,” ujar Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan ketika ditemui di Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Golf Alumni sempena Pesta Konvokesyen ke-36 pagi ini.

Katanya, melalui kejohanan dan kerjasama daripada syarikat-syarikat dan agensi-agensi yang menyertainya juga membuktikan bahawa sebenarnya ramai pihak yang sudi berkolaborasi bersama-sama UUM untuk pembangunan secara bersama.

Moga program yang dilaksanakan ini dapat membantu mencapai sasaran KPI yang telah ditetapkan oleh pihak universiti.

Dalam pada itu beliau yakin yuran penyertaan yang akan dimasukkan ke tabung kebajikan di bawah penyeliaan Pusat Alumni ini dapat digunakan untuk tujuan kebajikan para alumni UUM yang memerlukan nanti.

Kejohanan kali ini turut mendapat kerjasama daripada beberapa penaja antaranya Censof Bhd, Oxy Solution Sdn Bhd, Asas Consulting Engineers Sdn Bhd, Mutiara Concept Network Sdn Bhd, Bintong Express & Holiday Sdn Bhd, Etika Sdn Bhd, Adz Ra Enterprise dan Sahabat Pusat Alumni.

 

Oleh: Siti Nor Faizah Mohd Basir

Gambar oleh: Khairul Azman Rohim

 

 

BALING, 28 OKTOBER – Seramai 60 orang peserta terdiri daripada pelajar Sekolah Khas Baling (SKB) telah menyertai Program Anak-Anak Sekolah Khas Baling yang Hebat baru-baru ini.

Program yang juga dikenali sebagai Knowledge Transfer Programs (KTP) itu dikendalikan oleh Encik Muhammad Faiz Jelani yang merupakan motivator Akademi Bakat Malaysia bagi menyampaikan motivasi kepada pelajar-pelajar tersebut. Encik Muhammad Faiz Jelani merupakan alumni UUM pada tahun 2017.

Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Mohd Sobri Don dalam ucapannya berkata program itu bertujuan menyemai dan membentuk sifat-sifat kepimpinan dan nilai-nilai murni dalam diri para peserta.

Katanya lagi, program ini juga berjaya menyuntik semangat, keyakinan dan motivasi kepada pelajar untuk bersedia lebih awal bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun hadapan.

Bagi Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SKB, Encik Mat Khoiri Mohamad Lazim pula, selain ilmu dan kemahiran yang diperoleh di sekolah, program sedemikian memupuk semangat kerjasama di samping menjana minda kreatif murid.

“Ia amat bersesuaian bagi melahirkan pelajar cemerlang dan aktif dalam pelbagai bidang, selain membentuk sahsiah terpuji serta disiplin tinggi berdasarkan aktiviti yang dilaksanakan,” katanya.

 

Oleh: Siti Nor Faizah Mohd Basir

Gambar oleh: Khairul Azman Rohim

 

BALING: Memperkasa dan meningkatkan kemahiran guru antara perkara yang paling penting dalam memastikan pendidikan berkualiti dapat disampaikan kepada pelajar semasa sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

Menyedari kepentingan perkara itu, Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini telah mengadakan Bengkel Pembelajaran Interaktif Digital untuk guru daripada Sekolah Khas Baling (SKB) dan Sekolah Kebangsaan Kampung KEDA (SKKK).

Bengkel yang berlangsung selama sehari itu dihadiri seramai 42 guru dari kedua-dua sekolah tersebut.

Pengarah Pusat Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd Sobri Don berkata, perkembangan digital sangat pantas dalam era dunia sekarang.

Menurutnya, sesuai dengan perkembangan tersebut, sesi PdP akan menjadi lebih menarik dengan adanya interaktif digital yang mampu menarik minat murid untuk fokus belajar.

“Kita mendapat maklum balas yang sangat baik daripada peserta dan pihak sekolah tentang program ini.

“UUM bersedia untuk meneruskan lagi program-program perkongsian kemahiran seperti ini dengan bantuan alumni kita demi pembangunan pendidikan dan sekolah khususnya di Kedah” katanya.

Bengkel yang juga dikenali sebagai Knowledge Transfer Programs (KTP) itu dikendalikan oleh dua orang pakar bidang PdP digital dari UUM iaitu Dr. Siti Nazuar Sailin dan Dr. Hafizah Mohamad Hsbollah yang merupakan alumni UUM tahun 2000.

Sementara itu, guru Sekolah Khas Baling, Noor Aniza Baharom berkata, bengkel seperti ini sangat membantu guru-guru meningkatkan kemahiran PdP digital mereka, sekali gus dapat mewujudkan kaedah pembelajaran yang lebih sesuai mengikut peredaran semasa.

Katanya lagi, semua peserta berharap dapat mengikuti lagi program perkongsian kemahiran seperti ini pada masa hadapan.

 

Page 54 of 83