Sintok, 3 Ogos - Audit Kualiti Dalaman Universiti Utara Malaysia (UUM) 2023 telah melibatkan semua Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan Pusat Alumni juga tidak terkecuali menerima kunjungan dari pasukan audit.
Sesi audit ini melibatkan barisan juruaudit (auditor) bersama seluruh staf Pusat Alumni. Barisan auditor terdiri daripada Prof. Madya. Dr Rokiah Ishak, Prof. Madya. Dr Zuaini Ishak dan Encik Muhammad Ridhuan Abdullah.
SINTOK – Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (Ansara) Pioneer Batch Matrik Universiti Utara Malaysia (UUM) 1985/87 menyerahkan ‘Mock Cheque’ RM87,000 untuk Dana Wakaf Khas Kepada Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan.
Wakil Alumni Ansara Mohd Nizuaisham Mohd Sanif menyerahkan ‘Mock Cheque’ itu yang disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed dan alumni yang hadir.
Naib Canselor yang ditemui di majlis itu melahirkan rasa terima kasih atas sumbangan alumni kumpulan pelajar matrikulasi tahun pertama anjuran MARA sesi 85/87 dan juga pelajar UUM sesi Julai 1987 iaitu Batch ke-4 yang menamatkan pengajian di UUM.
Katanya, walaupun telah lebih tiga (3) dekad meninggalkan universiti ini namun mereka tidak melupakannya malah berusaha untuk menyalurkan sumbangan dana wakaf khas bagi kegunaan pelajar di kampus ini.
“Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) telah melantik UUM sebagai Pemegang Amanah (Mutawalli) bagi Tabung Wakaf UUM yang berkuatkuasa 1 Jun 2022 dan pelantikan ini juga sebagai Pemegang Amanah bagi membolehkan universiti memungut, melaburkan dana dan menggunakan hasil pelaburan selaras dengan objektif yang dibenarkan di bawah wakaf,” sambung beliau lagi.
Dalam pada itu katanya universiti sentiasa mengharapkan kepulangan alumni ke kampus dan bersama-sama berkongsi kepakaran, peluang pekerjaan dan juga mengharapkan sumber kewangan bagi memperkasakan dan membantu pelajar yang kurang berkemampuan terutamanya.
Sehingga kini jumlah terkumpul Tabung Wakaf UUM, hasil daripada sumbangan orang awam adalah berjumlah RM29,672.50 manakala jumlah terkumpul dana wakaf, hasil daripada sumbangan potongan gaji staf sehingga 31 Julai 2023 adalah berjumlah RM39,524.43 dan menjadikannya jumlah terkumpul terkini sebanyak RM69,196.93.
Walaupun setakat ini universiti masih belum menggunakan dana wakaf ini secara khusus namun UUM sedang mempertimbangkan pilihan pelaburan yang dapat memaksimumkan hasil pulangan agar dapat digunakan bagi keperluan pelajarnya.
Sementara itu Prof Dr Ahmad Martadha ketika ditemui mengharapkan sumbangan seperti ini dapat mencetuskan satu fenomena untuk menarik minat lebih ramai alumni mengikut Batch, Pusat Pengajian dan Inapan Siswa kembali kepada alma meter mereka, khususnya kepada pelajar dari golongan B40 atau miskin.
Turut hadir di majlis ini ialah Pengarah Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan, Prof Madya Sr Dr Mohamed Sukeri Khalid dan Pengarah Pusat Islam UUM, Prof Madya Dr Mohamad Khadafi Rofie.
KUALA MUDA: Program Melestarikan Kebersihan Pantai sekitar Dataran Tsunami, Kota Kuala Muda berjaya mengutip sebanyak 320 kilogram (kg) sampah termasuk botol plastik dan jala atau jaring ikan lama.
Program anjuran Pusat Alumni UUM dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) itu disertai 100 peserta yang terdiri daripada kakitangan MPSPK, komuniti sekitar Dataran Tsunami, pelajar dan staf UUM.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, pelaksanaan program ini adalah usaha dan bukti yang menunjukkan kesungguhan universiti dalam membantu negara melestarikan kebersihan dan keindahan alam sekitar, khususnya di kawasan pantai kerana pantai merupakan salah satu aset negara dalam sektor pelancongan.
Menurutnya, ia juga dapat memupuk budaya dalam mengekalkan kebersihan pantai dan kelestarian laut.
Dalam program ini juga, sebuah surau yang sering digunakan oleh penduduk kampung untuk aktiviti kerohanian yang berada di persisiran pantai itu juga turut dibersihkan.
Selain itu, kaunter E-Idaman Xchange turut dibuka untuk memberi peluang kepada penduduk kampung menjalankan aktiviti kitar semula.
Sementara itu, Yang diPertua MPSPK, Dato’ Muhamad Arof Darus berkata, program julung kali diadakan itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar.
“Selain itu, program dengan kolaborasi bersama penduduk sekitar juga dapat mewujudkan hubungan baik antara pihak MPSPK, universiti bersama komuniti setempat.
“Malahan ia juga memberi peluang kepada pelajar UUM termasuk staf untuk berkenalan dan mengenali masyarakat setempat,” katanya.
Dalam program itu juga, Pusat Alumni UUM juga menyediakan bakul makanan kepada 30 penduduk kampung dari golongan asnaf.
Bakul makanan tersebut ditaja oleh alumni UUM iaitu pemilik Syarikat Hikmah Worldwide Trading dan Yayasan Grass2Route (G2R).
Hadir sama, Penghulu Mukim Kota dan Rantau Panjang, Badruel Nizam Ibrahim yang juga merupakan Alumni UUM dalam Sarjana Muda Pengurusan Teknologi, tahun 2007.
Seramai 649 orang pelajar telah menyertai program ini yang berlangsung secara atas talian melalui aplikasi Webex yang diadakan bermula jam 8.00 malam. Pihak penganjur telah menjemput seorang ahli perniagaan berjaya, iaitu Prof. Ts Dr. Muhammad Ashlyzan Razik yang juga merupakan Pengarah Luar Pusat UMK Pendidikan dan juga pengasas Restoran Kopi Mesin yang terletak di dalam kampus UUM.
Prof. Ts Dr. Muhammad Ashlyzan telah berbesar hati berkongsi pengalaman berharga beliau selepas bergelar pelajar lepasan ijazah. Usaha dan teknik yang baik dalam setiap pekerjaan merupakan teras utama yang menjadi pegangan hidup beliau untuk terus menempa kejayaan.
Dalam sesi perkongsian beliau juga, Prof turut menceritakan pengalaman pahit manis beliau menjalankan beberapa perniagaan semasa melanjutkan pelajaran di Universiti Utara Malaysia (UUM). Antara pengalaman berharga ialah beliau pernah aktif dalam penjualan insurans secara sah kepada para pelajar. Beliau menggunakan kebijaksaan dengan mensasarkan para pelajar yang berkemampuan sebagai prospek dalam perniaagaan ini. Hasilnya, kejayaan ini merupakan titik mula perjalanan beliau sebagai seorang usahawan lantas menjadi persediaan beliau untuk menempuh hakikat sebenar pekerjaan.
Segala pengalaman dan ilmu yang ditimba telah membuatkan beliau lebih cekap dan akhirnya berjaya membuka perniagaan sendiri yang akhirnya menjadi pengasas kepada perusahaan Kopi Mesin.
Antara nasihat berharga beliau kepada semua pelajar adalah “jangan tunggu selesai belajar baru nak promosikan diri, libatkan diri dalam program universiti, bina hubungan baik dan belajarlah buat muka kesian” gurauan penuh makna yang diujarkan beliau.