Monday, 07 November 2022 08:54

AHMAD IDHAM ANTARA 6,611 GRADUAN TERIMA IJAZAH

Written by

 

UUM ONLINE: Penggiat seni tanah air, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 51, antara 6,611 mahasiswa yang berjaya menamatkan pengajian dan diraikan pada Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) Ke-34, di Dewan Mu’adzam Shah, pagi tadi.

Graduan Doktor Pengurusan ini melakukan kajian bertajuk Ekosistem dan Dasar Industri Perfileman Malaysia: Satu Kajian Ke Atas Pengantarabangsaan Filem Melayu.  

“Saya suka belajar walaupun di luar bidang dan amat meminati bidang pendidikan dan usaha ini lebih kepada khazanah diri demi menjadi seorang yang berilmu. Apabila dapat tawaran menjadi pengarah sambilan di sebuah universiti, saya banyak memberi ceramah dan dari situ terpanggil untuk melanjutkan pelajaran,” ujarnya.

“Bagi saya bila kita minat buat sesuatu, tidak kira sesibuk manapun, masa, kita yang tentukan bukannya masa kawal kita dan dengan sokongan keluarga, sahabat dan pelajar UUM impian kini jadi nyata,” ujarnya. 

Selain itu, beliau aktif dalam kerja amal misalnya memiliki pusat vokasional dan sekolah pendidikan khas untuk anak istimewa seperti autisme, disleksia dan sindrom down demi pemerkasaan pendidikan khas.

“Saya sering ke rumah anak-anak istimewa ada antara anak-anak ini didiagnos autism hyper dan disarankan untuk ditempatkan di bahagian psikiatri, agak mengejutkan    kerana anak istimewa ini bukan orang kurang siuman.

“Mereka punya keistimewaan tersendiri yang mungkin tidak ada pada manusia biasa seperti kita cuma mereka hanya ada kelemahan tertentu dan berpeluang untuk dipulihkan dengan bantuan pakar terapi dan modul pendidikan khas yang betul.  

“Segala kelompongan ini sedang diusahakan untuk ditambah baik demi memastikan anak-anak istimewa ini tidak ketinggalan sama ada dari sudut pendidikan mahupun kemahiran hidup,” katanya.

Minat mendalam mendekati masyarakat mendorongnya turun padang menyantuni golongan yang memerlukan untuk menyampaikan bantuan. 

“Sebenarnya, dalam rezeki kita ada rezeki orang lain semoga sumbangan yang dihulurkan sedikit sebanyak meringankan bebanan,” ujarnya.   

Jawatan yang pernah disandang seperti Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Timbalan Pengerusi Persatuan Kebajikan Umar Mishary Insani Johor (UMI), dan Penasihat Media Kementerian Komunikasi Dan Multimedia dan Ikon Nasional MyBrain15 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

 

Sepanjang penglibatan dalam dunia hiburan, anugerah yang dirangkul antaranya, Asia Awards 2018 di KOREA Chunsa Film Festival, 2018, Penguasa Kanan Bomba 1 (Kehormat), Pengarah Harapan 2002 – Filem Mr Cinderella dan Pengarah Drama Terbaik Anugerah Skrin TV3 (2002) – Tarantula 1 & 2.

 

 

 

Media