SINTOK, 9 Okt - Menyedari kepentingan alumni dalam pembangunan universiti, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menjadikan usaha untuk mengeratkan hubungan alumni dan pelajar sebagai salah satu agenda utama universiti. Pengiktirafan kepada kejayaan alumni merupakan salah satu usaha untuk mencapai objektif UUM.
Oleh itu satu program Alumni Mentoring dan Homecoming of UUM Footballers 2022 telah diadakan bertempat di Dewan Seminar Pusat Islam UUM. Program itu dihadiri oleh 230 orang pelajar dari Pusat Asasi Pengurusan UUM dan 4 panel jemputan serta seorang moderator dari pelbagai latar belakang dalam kalangan alumni UUM.
Antara alumni yang dijemput sebagai moderator pada program itu ialah Pegawai Sumber Manusia Tenaga Nasional Berhad, Tuan Haji Hafidzul Ahmad Jalaludin, seterusnya 4 orang panel iaitu Pengurus Agensi Prudential Assurance Malaysia Berhad, Encik Aznuar Haji Sha’ari serta Pengarah Urusan Qurba Food Manufacturing Sdn. Bhd, Encik Suhaimi Ahmad.
Hadir sama sebagai panel dalam program itu ialah Pengarah Pengurusan Deposit dan Tunai Bank Islam Malaysia Berhad, Tuan Haji Mohd Noor Jab dan Pengarah Bahagian AKI, Seranta dan Saham Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Encik Azmir Musyabri Abdul.
Program tersebut menjadi platform kepada ahli panel untuk berkongsi serba sedikit pengalaman mereka sepanjang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda. Di samping itu, kelima-lima ahli panel turut membincangkan mengenai cabaran yang dihadapi oleh mereka dalam bidang yang mereka ceburi.
Malahan turut diadakan sesi soal jawab diantara para pelajar dan panel mengenai laluan kerjaya mereka.
Pengarah Pusat Alumni UUM, Professor Madya Dr Lily Julienti Abu Bakar berkata, beliau berharap program perkongsian seperti ini dapat dijalankan secara lebih kerap lagi. Beliau juga berkata melalui program ini para alumni dapat berkongsi mengenai pengalaman mereka semasa bergelar pelajar suatu ketika dahulu agar boleh dijadikan motivasi kepada pelajar-pelajar Asasi Pengurusan UUM nanti.

