Tuesday, 16 November 2021 09:10

UUM SEDIA BANTU BANGUNKAN PUSAT JAGAAN WARGA EMAS KUBANG PASU

Written by

Oleh: Samsudin Oli Mohamed

Gambar: Shamsaimi Ezil

UUM ONLINE: Sintok – Universiti Utara Malaysia (UUM) bersedia bekerjasama dengan Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Langkasuka, Kubang Pasu (Pewaris) dalam menyantuni warga emas di Daerah Kubang Pasu.

“UUM dalam konteks ini bersedia menawarkan diri untuk membantu pusat jagaan warga emas bukan sahaja di daerah ini malah terbuka kepada mana-mana organisasi atau pertubuhan yang ingin memanfaatkan kepakaran yang ada di kalangan pensyarah, staf dan juga pelajar UUM,” kata Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dr Haim Hilman Abdullah ketika berucap merasmikan Seminar  Pembangunan dan Pengurusan Warga Emas Abad 21 di Dewan Hotel Bustani, Jitra, Kedah.

Katanya, UUM melihat kerjasama bijak dari pelbagai perspektif sesama agensi berkaitan pastinya dapat membantu warga emas yang memerlukan pembelaan.

Prof Dr Haim Hilman menambah kita berasa hiba dan sayu apabila ada warga emas ditinggalkan anak-anak dan keluarga apabila lanjut usia.

“ Ingatlah bahawasanya setiap ibu dan bapa amat menyayangi anak-anak mereka. Oleh itu, gembirakanlah hati mereka semua. Janganlah biarkan ada antara mereka tersisih ketika berada di penghujung usia,” katanya dalam nada sebak.

Oleh itu beliau berharap supaya semua pihak bersama-sama membantu dan menggembirakan warga emas ini.

Sementara itu Pengerusi PEWARIS Dr Mohamad Zulkurnai Ghazali berkata penganjuran seminar ini walaupun terpaksa dikecilkan penyertaannya kerana kapasiti yang terhad namun bilangan penyertaan dari pelbagai agensi kerajaan, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), pusat penjagaan warga emas dan NGO mendapat kerjasama yang amat baik.

Katanya seminar ini juga diharap dapat merealisasikan hasrat PEWARIS yang ditubuhkan untuk menyedari, menginsafi dan menerapkan nilai kasih sayang, hormat menghormati, rasa tanggungjawab serta berusaha memahami permasalahan warga emas di kalangan rakyat khususnya seorang anak kepada ibu bapa yang harus diterjemahkan secara sepenuhnya.

PEWARIS ditubuhkan pada Februari 2021 dengan tujuan untuk membantu khususnya ibu tunggal, ibu yang bersendirian dan tidak ada waris.

“Memandangkan di Kubang Pasu tidak mempunyai pusat jagaan warga emas ketika ini maka jawatankuasa PEWARIS telah mengadakan rundingan dengan sebuah syarikat swasta dan mereka bersetuju untuk memulakan pembinaannya pada penghunjung tahun ini dan dijangka beroperasi pada awal 2022 nanti,” kata Dr Mohamad Zulkurnai lagi.