Thursday, 14 October 2021 10:30

SUBJEK UTAMA UNIVERSITI MELONJAK DALAM THE WORLD UNIVERSITY RANKINGS BY SUBJECT 2022

Written by

UUM ONLINE: Satu lagi kejayaan ditempa Universiti Utara Malaysia (UUM) apabila subjek utama universiti iaitu Business and Economics berjaya melonjak ke tangga 201-250 terbaik dunia berbanding 251-300 pada tahun sebelumnya dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings by Subject 2022 yang diumumkan semalam.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, beliau bersyukur kerana UUM terus mengorak langkah apabila berjaya menempatkan diri dalam ranking dunia bagi subjek Business and Economics.

Menurutnya, kejayaan yang diperoleh itu adalah hasil komitmen dan kesungguhan warga UUM khususnya Dekan dan tenaga kerja di pusat pengajian terlibat seperti Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS) dan Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML).

Katanya, lonjakan dalam subjek Business and Economics ini menunjukkan kekuatan dan potensi yang ada pada UUM yang ditubuhkan untuk mengungguli bidang pengurusan dan perniagaan negara untuk terus bersaing secara kompetitif di pentas terbuka dalam THE World University Rankings.

"Selain itu, dengan kedudukan itu juga turut menyumbang kepada pilihan pelajar untuk menyambung pengajian di UUM apabila kita berada di landasan yang tepat dengan mempamerkan kualiti program ditawarkan. 

"Saya berharap pencapaian ini dapat terus dipertingkatkan bagi memastikan nama UUM terus gah di persada dunia dan visi menjadi Universiti Pengurusan Terkemuka berjaya direaliasasikan," katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Dekan dan warga Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) dan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) serta Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS) di atas kejayaan mengekalkan kedudukan dalam THE World University Rankings by Subject 2022 iaitu bagi subjek Education dan Social Sciences.

Secara khususnya UUM berjaya mengekalkan kedudukan sama seperti tahun sebelumnya dengan masing-masing berada di kedudukan 301-400 dan 401-500 bagi dua subjek tersebut. 

Prof. Dr. Haim Hilman berkata, kejayaan itu adalah kejayaan yang diusahakan oleh banyak pihak antaranya pensyarah, staf pentadbiran dan sokongan, pelajar dan Kementerian Pengajian Tinggi.

“Saya berharap Gagasan Gemilang Akademia & Admin Holistik (GAGAH) UUM akan terus menyemarakkan lagi semangat kita semua dalam menjulang tinggi nama UUM,” katanya. 

Times Higher Education World University Rankings by Subject mengguna pakai 13 indikator yang dikategorikan dalam lima kategori utama iaitu Teaching: the learning environment; Research: volume, income and reputation; Citations: research influence; International outlook: staff, students and research dan Industry income: innovation. Pemberat bagi setiap subjek pada asasnya berbeza antara satu dengan yang lain. 

Keputusan penuh boleh dilihat menerusi portal https://www.timeshighereducation.com/world-university-rankings/by-subject