Tuesday, 05 October 2021 08:39

15,271 TERIMA VAKSIN DI PPV 'OUTREACH' IPT UUM

Written by

UUM ONLINE: Tanggal 2 Oktober 2021 merupakan hari terakhir operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) 'Outreach' Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Universiti Utara Malaysia (UUM) yang telah ditutup secara rasmi selepas jam 4 petang.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, sejak mula beroperasi pada hujung minggu bermula 7 Ogos lalu dan tarikh tertentu, seramai 15,271 orang telah menerima dos vaksin termasuk staf dan pelajar UUM serta penduduk di daerah Kubang Pasu.

Menurutnya, beliau berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta petugas dan sukarelawan UUM yang telah memainkan peranan besar sepanjang operasi PPV 'Outreach' IPT UUM itu. 

"Alhamdulillah dan bersyukur kerana UUM telah menjadi sebahagian daripada cerita vaksinasi negara yang merupakan satu inisiatif yang digerakkan secara menyeluruh di peringkat kebangsaan dan di UUM juga turut memainkan peranan tersebut.

"Saya sangat gembira dan berbesar hati menjadi sebahagian usaha ini, malah berpuas hati kerana semua petugas dan sukarelawan telah memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat setempat, malah sebelum hari pemberian vaksin, kita telah memastikan segala kelengkapan dan fasiliti berada dalam keadaan terbaik," katanya selepas meninjau operasi PPV 'Outreach' IPT UUM yang beroperasi pada hari terakhir di Dewan Mu'adzam Shah.

Prof. Dr. Haim Hilman berkata, operasi PPV itu akan diteruskan sekiranya kerajaan atau negara atau masyarakat di sini memerlukan komitmen UUM dalam kapasiti sebagai IPT untuk membantu masyarakat

Menurutnya, universiti ini sentiasa bersiap sedia dan ingin merakyatkan UUM dan semua khususnya di Kedah agar mereka dapat merasakan bahawa UUM pernah memberikan sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Pada masa sama, beliau meminta agar penjawat awam terutamanya di UUM supaya segera mengambil suntikan vaksin sekiranya tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan.

Katanya, dengan pengambilan vaksin itu diharapkan seluruh warga UUM dapat meneruskan kerja dengan baik dan sempurna dalam konteks pengajaran dan pentadbiran universiti.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kesihatan Universiti, Dr. Adi Azhar Abdul Razak berkata, beliau berterima kasih kepada kerajaan dan KKM serta semua pihak terlibat kerana memberikan kerjasama baik kepada UUM sepanjang pengoperasian PPV 'Outreach' IPT UUM itu.

Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut juga, operasi telah berjalan lancar, malah penerimaan masyarakat setempat juga sangat baik.

"Saya gembira dan bangga kerana kita dapat menjadi sebahagian lipatan sejarah dalam membantu negara meningkatkan kadar vaksinasi ini agar kita dapat mencegah penularan Covid-19.

"Kepada yang masih belum mendapatkan vaksin, saya menggesa agar mendapatkan vaksin di PPV terdekat," katanya.