Oleh: Putri Lailatul Nadhirah
Gambar: Media Alumni
“ALUMNI INNOVATE: LEAVE NO ONE BEHIND”.
UUM Online: Sintok- Sempena Bulan Alumni UUM Tahun 2021, Pusat Alumni UUM telah mengadakan sebuah program bual bicara bersama-sama alumni pada 11 Julai 2021 lalu, yang disiarkan secara langsung di Facebook rasmi Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM).
Program bual bicara ini dikendalikan oleh Pengarah Pusat Alumni, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar bersama pengasas Akla Services Sdn. Bhd, Zainal Akla Shamsudin yang juga merupakan alumni UUM pada tahun 1998 dalam bidang Sarjana Muda Perakaunan.
Dalam program tersebut, Zainal yang merupakan usahawan sosial telah mengupas tentang penggunaan aplikasi MyDesa, keluaran syarikatnya, yang bertujuan bagi membantu mereka yang memerlukan khususnya yang berada di kawasan-kawasan pedalaman. Matlamat tersebut selari dengan slogan syarikat mereka “Leave No One Behind”, yang bermaksud bersama-sama kongsi kesusahan dan kekayaan bersama.
Katanya ilham penubuhan aplikasi MyDesa adalah terinspirasi ketika berada di Mexico yang mana negara tersebut telah mempraktikkan penggunaan aplikasi tersebut kepada masyarakat di sana.
Pusat Alumni UUM mewakili Universiti Utara Malaysia mengucapkan ribuan terima kasih di atas perkongsian yang bermanfaat daripada beliau.

