Sunday, 08 October 2023 09:07

KDEBWM beri geran untuk UUM kaji bidang pengurusan sisa di Selangor

Written by

 

SHAH ALAM: KDEB Waste Management (KDEBWM) memperuntukkan dana penyelidikan kepada Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi membantu meningkatkan kecekapan operasi pengurusan sisa dan inisiatif kitar semula di Selangor.

Pengarah Urusannya, Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata, kerjasama ini merupakan yang pertama kali antara KDBEWM dengan universiti awam di luar Lembah Klang dan yang pertama dalam bidang bukan sains (non-science).

Menurutnya, dalam kerjasama ini, KDEBWM akan memperuntukkan dana sokongan sebagai geran bagi membantu penyelidik UUM menjalankan kajian selama setahun merangkumi pengumpulan data, temu bual dan lawatan tapak dengan menggunakan kaedah kualitatif dan kuantitatif.

“Saya percaya kolaborasi ini akan memanfaatkan KDEBWM dalam pelbagai aspek seperti kewangan, operasi harian perniagaan dan kelestarian, selain memberi tambah nilai dalam jurnal akademik, kajian lepas dan sebagai rujukan kepada pelajar, penyelidik, pensyarah dan pendidikan secara amnya,” katanya dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Penyelidikan (RCA) antara KDEBWM dan UUM, di sini, hari ini.

Beliau yang merupakan alumni UUM bagi program Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan pada tahun 1996 turut melahirkan rasa bangga kerana dapat bekerjasama dengan UUM.

KDEBWM adalah anak syarikat Menteri Besar Incorporated (MBI) yang telah diberi mandat oleh kerajaan negeri Selangor untuk menguruskan sisa pepejal di negeri itu dalam memastikan negeri Selangor bersih dan hijau.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, kepercayaan yang diberikan oleh KDEBWM hari ini kepada UUM khususnya melibatkan penyelidik dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) membuka peluang baharu untuk berkongsi pengalaman, kepakaran dan pengetahuan melibatkan bidang pengurusan sisa yang dilihat sebagai satu bidang yang amat penting dalam usaha meningkatkan kelestarian negara dari aspek alam sekitar, sosial dan ekonomi.

Menurutnya, kerjasama penyelidikan antara KDEBWM dan UUM ini akan memfokuskan kepada dua bidang tujahan yang menjadi hala tuju baru KDEBWM iaitu strategi operasi dan kitar semula.

“Kumpulan penyelidik yang terlibat dalam kerjasama ini terdiri daripada felo penyelidik Institut
Kecemerlangan Teknologi dan Rantaian Bekalan (TESCE) dan pensyarah STML di mana mereka berpengalaman dalam menjalankan kajian berkaitan dengan pengurusan sisa, kitar semula, strategi operasi dan rantaian bekalan hijau.

“Kerjasama ini juga dijangka mampu membantu KDEBWM dalam merangka strategi perniagaan mereka, selain memperkukuhkan kedudukan TESCE dan STML selaku pusat penyelidikan dalam bidang operasi dan pengurusan sisa di mana kajian ini akan menghasilkan ‘output’ dalam bentuk jurnal antarabangsa dan buku,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail.

Dr. Mohd Foad berkata, kolaborasi UUM dengan KDEBWM dalam bidang pengurusan sisa ini bukan semata-mata mencerminkan komitmen UUM terhadap kecemerlangan akademik, tetapi ia menunjukkan UUM komited untuk memberikan impak kepada masyarakat dengan harapan akan merangsang pertumbuhan ekonomi dalam sektor pengurusan sisa termasuk penciptaan pekerjaan dan pembangunan perniagaan baharu.

Beliau berharap agar inisiatif kerjasama ini akan membuka ruang yang akan membawa manfaat yang lebih besar kepada UUM dan KDEBWM dalam memenuhi keperluan pendekatan pengurusan sisa yang lebih baik.

Hadir sama, Dekan STML, Prof. Dr. Nor Hasni Osman dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat KDEBWM, Ahmad Rizal Mohd Daud.

 

 

Media