Thursday, 17 August 2023 15:41

NAIB CANSELOR LANCARKAN ALUMNI UUM CHAPTER SABAH

Written by

 

KOTA KINABALU, 17 Ogos 2023: Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr Mohd Foad Sakdan baru-baru ini telah melancarkan Alumni UUM Chapter Sabah di Hotel Promenade, Kota Kinabalu, Sabah.

Majlis tersebut terbuka kepada semua alumni-alumni UUM di Sabah yang bergraduasi dari tahun 1988 sehingga 2022 dan ternyata mendapat sambutan yang baik oleh alumni-alumni yang berada di sekitar Sabah. Majlis ini juga menyaksikan serahan sumbangan sebanyak RM6,600 daripada Alumni UUM Chapter Sabah untuk dimanfaatkan kepada pelajar UUM dari Sabah.

Alumni UUM Chapter Sabah terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk ahli perniagaan, pemimpin masyarakat dan ahli birokrat datang untuk memperingati nostalgia perjalanan pendidikan mereka bersama-sama, sekali gus menyokong hasrat UUM untuk bersama-sama memajukan alma mater mereka. 

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Fo'ad Sakdan dalam ucapanya berkata universiti berhasrat dapat bekerjasama secara berterusan dengan alumni UUM Chapter Sabah dalam aktiviti-aktiviti yang dapat menyumbang kepada pembangunan universiti serta warganya sesuai dengan slogan UUM yang tak pernah berubah sejak penubuhan UUM iaitu “Ilmu, Budi, Bakti”.

“Sempena usia UUM 40 tahun pada 16 Februari 2024, saya mempelawa alumni UUM Chapter Sabah untuk mengadakan aktiviti bersama universiti iaitu Alumni Homecoming pada tahun hadapan,” katanya.

Sementara itu, dalam sesi soal jawab bersama Naib Canselor, salah seorang alumni bertanyakan tentang keperluan untuk mewujudkan kampus UUM di Sabah, Dr Mohd Foad menjelaskan bahawa pihak UUM melalui kerjasama bersama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sedang berusaha ke arah itu.

Selain itu, salah seorang alumni dari tahun 1985, Puan Marina Marion turut berkongsi pengalaman beliau kepada ahli alumni lain ketika berada di kampus yang mana pada waktu tersebut, kampus UUM bertempat di Tanah Merah, Jitra dan bagaimana beliau dan rakan-rakan beliau menghabiskan masa ketika di kampus.

Antara alumni UUM chapter Sabah yang hadir ialah  Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Raime Unggi.

Turut hadir Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni UUM; Prof. Madya Dr Mohd Sobri Don, Pengarah Pusat Alumni UUM dan Prof. Madya Dr Herman Shah Anuar, Pengarah UUM PACE.

 

 

 

 

Media