Sunday, 23 July 2023 12:08

ALUMNI SHARING: APA TUNGGU LAGI?

Written by

 

HEPA ONLINE : Exco Informasi dan Penerbitan, JKPS INASIS Sime Darby telah berjaya menganjurkan sebuah program melibatkan para Alumni UUM. Program bertemakan Alumni Sharing Session: Life After Graduate telah mendapat sebutan ramai dalam kalangan pelajar tentang kesedaran untuk menempuh dunia selepas bergraduasi.

Seramai 649 orang pelajar telah menyertai program ini yang berlangsung secara atas talian melalui aplikasi Webex yang diadakan bermula jam 8.00 malam. Pihak penganjur telah menjemput seorang ahli perniagaan berjaya, iaitu Prof. Ts Dr. Muhammad Ashlyzan Razik yang juga merupakan Pengarah Luar Pusat UMK Pendidikan dan juga pengasas Restoran Kopi Mesin yang terletak di dalam kampus UUM.

Prof. Ts Dr. Muhammad Ashlyzan telah berbesar hati berkongsi pengalaman berharga beliau selepas bergelar pelajar lepasan ijazah. Usaha dan teknik yang baik dalam setiap pekerjaan merupakan teras utama yang menjadi pegangan hidup beliau untuk terus menempa kejayaan.

Dalam sesi perkongsian beliau juga, Prof turut menceritakan pengalaman pahit manis beliau menjalankan beberapa perniagaan semasa melanjutkan pelajaran di Universiti Utara Malaysia (UUM). Antara pengalaman berharga ialah beliau pernah aktif dalam penjualan insurans secara sah kepada para pelajar. Beliau menggunakan kebijaksaan dengan mensasarkan para pelajar yang berkemampuan sebagai prospek dalam perniaagaan ini. Hasilnya, kejayaan ini merupakan titik mula perjalanan beliau sebagai seorang usahawan lantas menjadi persediaan beliau untuk menempuh hakikat sebenar pekerjaan.

Segala pengalaman dan ilmu yang ditimba telah membuatkan beliau lebih cekap dan akhirnya berjaya membuka perniagaan sendiri yang akhirnya menjadi pengasas kepada perusahaan Kopi Mesin.

Antara nasihat berharga beliau kepada semua pelajar adalah “jangan tunggu selesai belajar baru nak promosikan diri, libatkan diri dalam program universiti, bina hubungan baik dan belajarlah buat muka kesian” gurauan penuh makna yang diujarkan beliau.

 

 

 

 

 

 

Media