UUM, Siktok - Program kutipan barangan kitar semula yang dianjurkan oleh Zon Bougainvillea dengan kerjasama E-Idaman telah mencapai kejayaan dengan pengumpulan sebanyak 419.80kg barangan kitar semula melebihi jumlah sasaran awal iaitu 100kg. Program ini mengangkat konsep "Kumpul, Timbang, Jana, dan Belanja" yang melibatkan warga UUM secara aktif.
Program ini bermula dengan pengumpulan barangan kitar semula daripada warga UUM termasuk plastik, kertas, logam dan minyak masak terpakai. Setelah pengumpulan dilakukan, barangan tersebut ditimbang untuk mencatat jumlah sebenar yang dikumpulkan. "Kegiatan ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang kitar semula, tetapi juga memberi peluang kepada masyarakat untuk menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar," jelas En Mohd Firdaus Mohd Isa, Head of Corporate Communication E-Idaman.
Dalam usaha untuk meneruskan momentum ini, Zon Bougainvillea dan E-Idaman merancang untuk mengadakan lebih banyak program kitar semula pada masa akan datang, termasuk bengkel dan kempen kesedaran. "Kami berharap inisiatif ini akan menjadi contoh kepada Zon EKSA lain dan menginspirasi warga UUM untuk terus mengamalkan kitar semula dalam kehidupan seharian mereka," kata Prof Madya Dr Lily Julienti selaku ketua Zon Bougainvillea.
Pencapaian ini bukan sahaja membuktikan keberkesanan program tersebut, tetapi juga menandakan langkah positif ke arah universiti yang lebih hijau dan lestari. Usaha ini bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, tetapi juga membentuk masyarakat yang lebih peka dan bertanggungjawab.
UUM, Siktok - Majlis Sambutan Hari Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) ke-36 berlangsung di Bilik Mesyuarat Senat.
Bagi menyempurnakan majlis, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed memotong pulut kuning sambil disaksikan Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar dan pegawai universiti.
“Upacara memotong pulut kuning sebagai simbolik sambutan Hari Alumni UUM ke-36 yang diambil sempena Majlis Konvokesyen UUM pertama pada 30 Julai 1988,” kata Naib Canselor sejurus selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Program Mai Balik UUM 2024 (MBUUM) Kali Ke-2.
Jelasnya, Program Mai Balik UUM 2024 julung kali diadakan bersempena Sambutan Tahun Melawat UUM 2024 dan Sambutan Hari Pengasasan UUM yang ke 40.
Katanya, MBUUM merupakan program anjuran universiti di mana Pusat Alumni sebagai penyelaras program dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelaras Program MBUUM yang melibatkan Jabatan HEPA dan pusat pengajian.
“Menerusi program ini kita membawa alumni untuk kembali ke UUM sekali gus mengimbau zaman kampus yang penuh memori ibarat sireh pulang ke gagang. Inisiatif ini juga dilihat merapatkan jalinan universiti bersama alumni UUM,” ucapnya.
Sementara itu, Dr Lily Julienti berkata, MBUUM amat sesuai untuk tujuan jalinan dan ikatan mesra di antara alumni dengan universiti. “Penyertaan yang berskala besar akan menjadi promosi kepada UUM melalui tularan pada media sosial.
“Pelaksanaan program ini secara tidak langsung juga akan melebarkan jaringan kerjasama strategik universiti dengan agensi luar, sekali gus mengukuhkan jenama UUM dalam pasaran,” ujarnya.
Pusat Alumni akan berkolaborasi secara strategik dengan seluruh warga kampus UUM, alumni UUM, dan agensi luar bagi menjayakan program MBUUM 2024.
Pada majlis sama menyaksikan penyerahan baucer diskaun He & She Coffee oleh Zulkiflee Yusof untuk disampaikan kepada pelajar B40 dan MBUUM bernilai RM5,000.
Ahad, 14 Julai 2024 - Seramai 11 orang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) cemerlang dan terpilih telah menerima biasiswa sebanyak RM2,000.00 bagi setiap seorang bagi membantu mereka dalam keperluan pembelajaran di kampus.
Biasiswa ini diberikan secara “one off”, hasil peruntukan peribadi daripada Yang Berbahagia Dato’ Haji Ramli Mohd Tahir, Pengarah Urusan, KDEB Waste Management (KDEBWM) di bawah seliaan Pusat Alumni. Beliau merupakan Alumni UUM yang telah mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian (1996).
Pelajar-pelajar ini telah dipilih berdasarkan Purata Mata Semester (PMS) dan Purata Mata Keseluruhan (PMK) mereka masing-masing. Selain itu, mereka juga merupakan para pelajar yang terdiri daripada kalangan keluarga yang berpendapatan rendah dan anak yatim piatu.
Pengarah Pusat Alumni, Profesor Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar, telah menyerahkan surat tawaran biasiswa tersebut mewakili Yang Berbahagia Dato’ Haji Ramli, kepada 11 orang pelajar tersebut bertempat di Pejabat Pusat Alumni, pagi ini. Penyerahan penghargaan secara rasmi kepada Yang Berbahagia Dato’ akan diadakan pada Majlis Makan Malam Mai Balik UUM yang akan diadakan pada bulan September nanti.
Katanya, para pelajar diingatkan untuk menggunakan biasiswa ini bagi tujuan pembayaran yuran atau untuk kegunaan keperluan pembelajaran sahaja, bukan untuk perkara-perkara yang tidak bermanfaat.
Penajaan biasiswa daripada Alumni UUM seperti ini merupakan program kali kedua di bawah seliaan Pusat Alumni selepas biasiswa tajaan daripada Encik Shazmi Ali Sardar Ali, Naib Presiden Sumber Manusia SHELL pada tahun 2022.