Webmaster 2

Webmaster 2

23 November 2024: Etika Sdn Bhd dengan kerjasama Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan program “Pemuliharaan Habitat Paya Bakau untuk Kelestarian Alam Sekitar” di Kompartment 11, Sungai Merbok, Kedah, pada 23 November 2024.  Program ini juga menjadi lebih bermakna dengan penyertaan 10 pelajar dari Kelab Patriot Chapter Sabah yang meluangkan masa cuti semester untuk turut serta dalam inisiatif ini.  Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan habitat paya bakau sebagai penampan ekologi yang penting dan membantu dalam usaha melindungi alam sekitar.

Acara tersebut menyaksikan penglibatan lebih 120 peserta, termasuk kakitangan Etika Sdn Bhd, alumni UUM, pelajar universiti, dan penduduk tempatan. Aktiviti utama ialah penanaman 320 anak pokok bakau di kawasan yang terdedah kepada hakisan tanah. Langkah ini bertujuan memperkukuhkan kawasan muara sungai serta memperbaiki habitat hidupan liar di sekitar Sungai Merbok, yang terkenal dengan kepelbagaian biologi ekosistemnya.

Naib Presiden Sumber Manusia, Etika Sdn Bhd, Puan Norashikin Abdul Rahman, menyatakan komitmen syarikat terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar melalui program ini. “Paya bakau merupakan aset penting yang sering diabaikan. Melalui program ini, kami ingin menyumbang kepada perlindungan ekosistem ini sambil mendidik masyarakat tentang peranan kritikalnya dalam mengurangkan impak perubahan iklim,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni UUM, Profesor Madya Dr Lily Julienti Abu Bakar, mengucapkan penghargaan atas kerjasama erat antara pihak korporat, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Kelab Pendidikan dan Kebajikan Puncak Lembah Bujang serta agensi-agensi lain dan juga alumni UUM yang turut serta dalam program ini. “Sungai Merbok bukan sahaja menjadi tapak pemuliharaan, tetapi juga simbol kesatuan dalam usaha menjaga alam sekitar. Inisiatif ini sejajar dengan misi UUM untuk melahirkan individu yang prihatin terhadap isu alam sekitar,” tambah beliau.

Program ini bukan sahaja memberi impak positif kepada ekosistem Sungai Merbok, tetapi juga meninggalkan kesan mendalam kepada para peserta, termasuk pelajar Kelab Patriot Chapter Sabah, untuk terus memainkan peranan aktif dalam memelihara warisan alam demi kesejahteraan generasi akan datang.

Event Details:

  • Date: 23 November 2024
  • Location: Kompartment 11, Hutan Simpan Merbok, Sungai Merbok, Kedah

     

Saturday, 16 November 2024 10:30

Majlis Penutupan Pesta Konvokesyen Kali Ke-37

18 November 2024: Alumni memainkan peranan besar dalam membimbing generasi muda serta mewakili kecemerlangan dalam pelbagai bidang sekali gus menjadi sumber inspirasi.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management Sdn. Bhd., Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata, melalui program pementoran dan perkongsian pengalaman, alumni dapat memberi pendedahan kepada pelajar tentang cabaran kerjaya dan menyediakan sokongan moral untuk menghadapi masa depan.

“Alumni juga merupakan agen perubahan sosial yang boleh menyumbang kepada masyarakat melalui inisiatif sosial dan program kesukarelawan.

“Dengan cara ini, Alumni bukan sahaja dikenali sebagai pemimpin dalam bidang masing-masing tetapi juga sebagai individu yang prihatin terhadap pembangunan komuniti,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Pesta Konvokesyen Kali Ke-37, Universiti Utara Malaysia, kelmarin.

KDEB Waste Management (KDEBWM), yang merupakan sebuah syarikat pengurusan perkhidmatan sisa domestik di Selangor, turut menyumbangkan 15 komputer riba kepada pelajar B40 dengan kerjasama Pusat Pengajian Pendidikan UUM. Inisiatif ini bertujuan memudahkan urusan pembelajaran pelajar yang kurang berkemampuan.

Dato’ Ramli, yang merupakan alumni UUM tahun 1996, menegaskan bahawa jaringan Alumni adalah salah satu aset terpenting universiti yang membuka ruang untuk peluang kerjaya, latihan industri, dan kolaborasi strategik antara alumni dan pelajar.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua alumni agar terus berhubung dan terus terlibat dengan universiti, berkongsi pengalaman dan ilmu, serta membantu memperkukuhkan reputasi institusi ini,” ucapnya.

Jelasnya, tema “Ikon Alumni” mengangkat peranan Alumni sebagai pewaris legasi dan duta universiti. Alumni bukan sekadar bekas pelajar, tetapi mereka adalah duta yang membawa nama universiti ke peringkat nasional dan antarabangsa.

“Alumni yang berjaya adalah bukti bahawa universiti ini telah berjaya melahirkan individu berkualiti yang mampu memberi impak dalam komuniti, industri, dan negara.

“Mereka bukan sahaja perlu mencipta kejayaan peribadi tetapi juga harus menjadi jambatan antara industri dan universiti dengan berkongsi peluang dan pengalaman,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, PESKON bukan sekadar meraikan kejayaan   graduan, tetapi juga sebagai platform untuk mengenang sumbangan alumni yang telah mewarnai dunia kerjaya mereka dengan kejayaan luar biasa yang memberikan contoh terbaik kepada pelajar.

“Sepanjang acara PESKON37 ini, kita telah melihat bagaimana alumni UUM telah kembali memberi sumbangan dalam bentuk kepakaran, pengalaman, serta bimbingan kepada mahasiswa yang bakal menjejaki dunia kerjaya tidak lama lagi.

“Hubungan erat yang terjalin antara alumni dan universiti ini bukan sahaja mencerminkan semangat kekitaan yang kuat, malah ia membantu memperkasakan ekosistem pembelajaran yang holistik di UUM,” ujarnya.

Beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua graduan yang telah menamatkan pengajian dan merakamkan penghargaan kepada penganjur PESKON yang telah didominasi oleh barisan pelajar.

Pengarah PESKON, Muhammad Hafizzudin Zolkifely berkata, sebagai institusi pendidikan yang berprestij, UUM bukan sahaja melahirkan pelajar yang berilmu dan berdaya saing tetapi juga pelajar yang mempunyai daya kreatif dan pelbagai bakat yang mampu mencorakkan masa depan dengan penuh keyakinan.

“Melalui pelbagai acara yang dijalankan sepanjang pesta ini, kita telah dapat melihat bagaimana bakat ini diserlahkan, sama ada dalam bidang akademik, sukan, seni, atau keusahawanan,” ujarnya.

Page 46 of 83