AURAS merupakan sebahagian daripada Persatuan Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) yang telah berjaya dalam kerjaya di bidang masing-masing.
Naib Canselor UUM, Prof. Dr Haim Hilman Abdullah amat menghargai inisiatif AURAS yang memikul sebahagian daripada tanggungjawab universiti dalam melahirkan modal insan yang kompeten, bertanggungjawab dan beretika ke arah pertumbuhan ekonomi dan pembangunan masyarakat di Malaysia.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada AURAS kerana bersama-sama mengumpul dana untuk membantu Pengurusan universiti dalam menaik taraf asrama pelajar, penyediaan dermasiswa dan bantuan kewangan kepada pelajar Sarawak yang memerlukan terutamanya mereka dari latar belakang keluarga B40.
“AURAS melalui syarikat rakan kongsinya Richmind Consulting dan Mentoring Sdn Bhd turut menyediakan program bimbingan khas kepada 20 pelajar UUM dari Sarawak,” ujarnya.
Secara keseluruhan, nilai sumbangan yang dihulurkan mencecah kira-kira RM54,000 dan berharap aktiviti seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang.
Haim Hilman diraikan pada Majlis Makan Malam Gala AURAS 2022 di Kuching yang dihadiri kira-kira 100 ahli AURAS yang merupakan perhimpunan kedua sejak diadakan pada 2018.
Sementara itu, Pengerusi Protem AURAS, Chi Poh Yung berkata, AURAS bertekad akan menganjurkan lebih banyak aktiviti menarik untuk memanfaatkan kekuatan alumni Sarawak dalam usaha menjadi sebuah negeri maju menjelang tahun 2030.
“Sejak 38 tahun lalu, UUM telah melahirkan ramai graduan yang berjaya dalam kerjaya di sektor awam, swasta termasuk dalam perniagaan dan keusahawanan.
“Kami sentiasa berterima kasih kepada alma mater, UUM kerana menjadikan siapa kami pada hari ini dan akan terus menyumbang kembali kepada UUM dalam pelbagai kaedah selari dengan motonya, Ilmu, Budi, Bakti,” katanya.

