THE Impact Rankings 2022 merupakan satu-satunya badan prestasi global yang menilai universiti seluruh dunia setiap tahun selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, beliau bersyukur kepada Allah kerana UUM telah merakamkan satu lagi peristiwa atau kejayaan bersejarah apabila julung kali disenaraikan dalam ranking tersebut.
Menurutnya, pencapaian itu merupakan satu kejayaan besar buat semua dalam usaha mendukung SDG bagi memastikan dunia terus sejahtera.
"Secara keseluruhan, UUM berjaya menyerlah dalam lima daripada 17 matlamat SDG iaitu SDG 4 (Kualiti Pendidikan), SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamaan), SDG 11 (Kelestarian Bandar dan Komuniti), SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi Yang Teguh) dan SDG 17 (Kerjasama Demi Matlamat).
“Daripada lima matlamat yang dicapai itu, UUM terbukti berjaya menyediakan pendidikan berkualiti apabila disenaraikan di kedudukan ke-42 bagi SDG 4. Kita juga menyerlah dalam empat matlamat lagi iaitu SDG 10 di kedudukan (101-200); SDG 11 (101-200); SDG 16 (401-600) dan SDG 17 (401-600),” katanya.
Haim Hilman berkata, kejayaan itu juga membuktikan bahawa UUM ingin menjadi sebahagian daripada cerita dunia ini dapat dibela untuk generasi akan datang.
Tambahnya, universiti ini akan bersama dalam usaha dunia untuk mengangkat kelestarian dan segala berkaitan tentang dunia ini untuk diwariskan kepada generasi akan datang agar berada dalam kedudukan terbaik.
"UUM adalah sebahagian daripada cerita tersebut. Kita adalah dunia," kata beliau.

