“Saya sebenarnya segan untuk memberi ucapan tetapi apabila memikirkan apa yang saya buat ini dapat dijadikan contoh kepada alumni di luar sana untuk turut sama menyumbang bakti kepada UUM dalam pelbagai kaedah sama ada kewangan, atau perkhidmatan, saya jadi bersemangat.
“Saya teringat nasihat ibu semasa kecil, kalau kita buat baik, jangan cerita pada orang bak kata pepatah buat baik tangan kanan, tangan kiri tidak tahu dan saya rasa ramai di luar sana yang ingin memberi sumbangan tetapi mereka tidak tahu cara dan saluran mana yang harus dituju,” katanya.
Ujarnya, UUM jauh berbeza berbanding era ketika beliau menjadi pelajar pada 1999 serta menyifatkan UUM dari dulu sampai sekarang kuat dari segi akademik, kokurikulum dan paling penting integriti.
“Zaman sekarang nak cari orang pandai senang tapi nak cari orang berintegriti susah, jadilah manusia yang baik, maju macam mana sekalipun dan apa jua yang kita lakukan reda ibu bapa amat penting kerana bila mereka bangga dengan kita itulah sebenar-sebenar kejayaan.
“Lazimnya bila kita tengok kawan-kawan berjaya, perkara pertama yang kita fikir, dia baik dengan bos tetapi jarang kita jadikan orang itu sebagai inspirasi, sepatutnya bila tengok kejayaan orang lain jadikan inspirasi bermakna anda sudah buka pintu untuk belajar bagaimana mahu berjaya seperti dia.
“Jangan malas membaca, jangan kedekut ilmu, jadilah orang yang rendah diri, jangan bangga diri dan bila berjaya bukanlah kita orang yang paling rajin atau paling bijak tetapi kita hanya mendapat rezeki daripada tuhan,” ucapnya pada Majlis Penyerahan Biasiswa Alumni UUM dan Hi-Tea Raya Pusat Alumni yang berlangsung di Dewan Sri Angsana, Hotel EDC UUM, semalam.
Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof. Madya Dr Lily Julienti Abu Bakar berkata, sejarah Biasiswa Alumni bermula pada 2021 apabila Shazmi menyatakan hasrat untuk memberikan sumbangan biasiswa kepada pelajar dan memandangkan beliau adalah alumni UUM, maka Pusat Alumni menguruskan biasiswa ini.
“Hari ini, kita sangat bertuah kerana beliau yang sanggup datang dari jauh dan meluangkan masa ke UUM untuk bertemu para pelajar dan menyampaikan sumbangan biasiswa kepada 11 pelajar terpilih, tahniah diucapkan,” ujarnya pada program anjuran Pusat Alumni dengan kerjasama Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan.
Manakala penerima biasiswa, pelajar Sarjana Muda Perbankan, Previna A/P Marimuthu mengakui agak terkejut apabila terpilih mendapat peluang keemasan ini serta merancang untuk menggunakan biasiswa ini bagi keperluan pembelajaran misalnya membeli buku serta membaiki komputer riba yang rosak.
“Saya amat berterima kasih pada Tuan Shazmi Ali yang memberi peluang kepada saya untuk mendapatkan biasiswa ini malah saya juga akan sentiasa ingat pesanannya agar menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.
Pelajar Sarjana Muda Keusahawanan, Muhammad Aiman Firdaus Mohd Izam menyambut baik program Biasiswa Alumni sebagai platform bagi para pelajar lebih mengenali alumni UUM yang telah berjaya dan dijadikan idola kejayaan mereka.
“Saya sangat teruja apabila Tuan Shazmi Ali menyapa kami dengan memberi kata-kata semangat dan nasihat untuk berjaya dan kami juga mahu berjaya dan berbudi luhur sepertinya.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana mendapat biasiswa dan jutaan terima kasih atas tajaan ini seterusnya akan belajar bersungguh-sungguh serta melakukan perkara yang sama seperti beliau satu hari nanti,” ujarnya.

