“Bila berpuasa jangan tinggal al-Quran siapa yang kasih pada nabi, paling besar dalam Ramadan adalah khatam al-Quran sebanyak-banyaknya dan rugi besar jika biar hari berlalu tanpa membacanya.
“Quran bukan novel tapi kalam Allah, mukjizat teragung apabila dibaca akan menusuk ke hati, sangat akrab di jiwa dan kalau baca tidak lancar pun tidak mengapa paling kurang, baca Qulhuwallah (Surah al-Ikhlas) 3 kali seumpama membaca habis satu al-Quran terutamanya isteri yang sibuk sehingga tidak sempat membaca al-Quran.”
Demikian kata-kata penceramah selebriti, Ustaz Don dalam intipati Tazkirah Ramadan: “Nasi Kandar, Kurma Ajwa” secara atas talian yang bersiaran secara langsung melalui Facebook Pusat Alumni membabitkan 800 peserta.
Beliau berkata, Rasulullah menyifatkan Ramadan sebagai bulan kebajikan, simpati, belas kasihan terhadap insan dan sabar kerana ganjaran pahala menyempurnakan Ramadan adalah besar jika menjadi hamba yang bertakwa.
“Dalam bulan Ramadan, rugi bagi sesiapa yang setiap hari berlalu tanpa memberi makan kepada orang berbuka puasa sebagaimana sabda baginda: “ Siapa yang menyediakan makanan berbuka buat orang yang berpuasa, maka dia mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan tidak dikurangkan sedikitpun dari pahala orang yang berpuasa itu.
“Jika memberi sebiji kurma, pahala orang itu seperti membaca al-Quran, sembahyang, selawat dan zikir. Bayangkan jika menjamu 100 orang berbuka ibarat kita berpuasa 100 hari selain diampuni dosa dan dibebaskan dari belenggu neraka,” katanya.
Beliau berpesan lagi, rugi jika biarkan malam berlalu tanpa terawih dan tahajud. Perbanyakkan zikir kerana perumpamaan orang berzikir dengan orang yang tidak berzikir seperti orang yang hidup dengan orang yang mati.
Katanya, terdapat dua kegembiraan orang berpuasa iaitu ketika berbuka dan bertemu Allah jadi digalakkan makan tetapi tidak membazir dan hidup mesti mendapat keberkatan Allah SWT.
“Seorang suami raihlah pahala dari isterinya dengan kata lain, suami ibadahnya bila dia mendengar isterinya bercerita dan menyuap makanan kepada isterinya.
“Dalam konteks UUM, bila pensyarah menyampaikan ilmu itulah sebenar-benar ibadah, bagi kerani kewangan selama mana staf dapat gaji mengikut jadual itu ibadahnya, pemandu bawa bos dengan selamat itu ibadahnya dan bekerja dengan sebaiknya ada ibadahnya,” ujarnya.
Menurutnya, usaha meraih ibadah dan pahala dengan orang keliling terutamanya keluarga adalah paling baik.
“Kalau kita boleh bercakap lemah lembut dengan rakan sekerja sepatutnya kita boleh bercakap tiga kali ganda lebih baik dengan isteri jadi gunakan peluang untuk seperti memuji masakan isteri,” katanya.
Katanya, sebuah kisah nabi: “Di mana suatu hari 3 lelaki datang ke rumah nabi seraya bertanya pada Siti Aisyah.
“Ya Ummul mukminin bagaimana gaya hidup nabi di rumah? Siti Aisyah menjawab Rasulullah juga macam kamu, baginda juga makan, nikah dan tidur.
“Lalu lelaki itu berkata, kalau nabi tidur saya nak sembahyang sampai mati, seorang lagi pula menambah kalau nabi makan saya ingin puasa berterusan, yang ketiga berkata tidak mahu berkahwin supaya fokus pada ibadah namun percakapan mereka seolah-olah mahu membuat lebih daripada nabi.
“Lalu Nabi bersabda, aku sembahyang dan aku juga tidur, aku puasa aku berbuka juga berkahwin, sebaik-baik manusia di kalangan kamu adalah aku justeru kita hari ini dalam bab apa sekalipun jangan berlebihan kerana sebaik-baik urusan adalah sederhana,” kongsinya.
Sementara itu, moderator yang juga pensyarah UUM, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie berkata, Ajwa sejenis kurma yang sangat disukai nabi sehinggakan baginda menanam sendiri pokok kurma tersebut.
“Siapa yang makan tujuh biji kurma Ajwa di waktu pagi akan terhindarlah dari sihir jadi nabi sarankan berbuka dengan kurma Ajwa dalam jumlah ganjil satu, tiga, lima dan yang paling baik tujuh biji,” ujarnya.

