UUM ONLINE: "Meneruskan usaha yang telah dilaksanakan pemimpin terdahulu menunjukkan ciri seorang pemimpin yang matang dalam membina sebuah universiti," kata Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah pada Majlis Serah Tugas Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) di Bilik Senat, pagi tadi.
Menurutnya, beliau gembira dan teruja apabila Timbalan Naib Canselor baharu, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed akan meneruskan tradisi yang dilakukan pemimpin sebelum ini dan memberi penambahbaikan demi kecemerlangan universiti.
Katanya, warga universiti perlu bekerja sebagai satu pasukan dan beliau berharap kepimpinan terkini Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) di bawah Prof. Dr. Ahmad Martadha dapat membentuk pasukan yang kuat dan dinamik untuk kemajuan anak bangsa dan negara.
Di samping, Naib Canselor turut merakamkan penghargaan kepada Prof. Madya Dr. Hendrik Lamsali kerana telah berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik sepanjang menerajui HEPA.
"Beliau sudah buat yang terbaik untuk universiti dan juga pelajar khususnya. Bukan mudah juga apabila beliau mentadbir ketika negara dilanda krisis pandemik Covid-19, bagaimanapun kesungguhan dan kegigihan Dr. Hendrik telah mampu mengatasi segala cabaran itu," katanya.
Sementara itu, Prof. Dr. Ahmad Martadha berkata, beliau berterima kasih kepada Menteri Pengajian Tinggi dan juga Naib Canselor di atas kepercayaan diberikan untuk menerajui HEPA.
Menurutnya, beliau akan memberikan komitmen untuk bersama-sama membangunkan universiti dan pada masa sama akan meneruskan apa yang telah dijayakan Dr. Hendrik, selain membuat penambahbaikan demi kecemerlangan HEPA dan UUM.
Beliau berharap akan mendapat sokongan dan kerjasama semua agar HEPA dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab untuk mencapai hasrat Menteri Pengajian Tinggi dan selaras dengan misi Naib Canselor.
Bagi Dr. Hendrik, tempoh tiga tahun memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Naib Canselor bukan satu tempoh norma biasa tetapi penuh pancaroba berikutan pandemik Covid-19.
"Saya berterima kasih kepada pengurusan universiti termasuk Naib Canselor terdahulu yang banyak memberikan sokongan dan membantu kerana tanpa sokongan ini, mustahil untuk saya bersama-sama HEPA menjalankan amanah yang diberikan.
"Meskipun banyak cabaran dilalui terutama dalam tempoh pandemik selama dua tahun dan tahun pertama dalam norma biasa, namun universiti tetap mampu mencapai pelbagai kejayaan.
"Saya berharap kepimpinan sekarang akan membawa HEPA ke peringkat lebih tinggi dan saya yakin universiti akan mencapai lebih banyak kecemerlangan pada masa hadapan," katanya.
Sesi menandatangani nota serah tugas antara Prof. Dr. Ahmad Martadha dan Dr. Hendrik telah disaksikan Prof. Dr. Haim Hilman dan Ahli Senat.