Monday, 10 January 2022 12:34

UUM PRIHATIN SEDIA 1000 KOTAK BANTUAN BENCANA UNTUK MANGSA DI JOHOR

 

Oleh: Aina Arrmiza Razif (Pelajar Pelatih dari UiTM)

Gambar oleh: Abdul Halim Husain

 

 

UUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus menghulurkan bantuan kepada negeri terjejas banjir dan kali ini memfokuskan penduduk di Labis dan Sekijang di Johor.

Penyerahan barangan sumbangan itu telah disempurnakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad bersama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah pada Khamis lalu.

 

Dengan keseluruhan dana daripada Pusat Alumni UUM berjumlah RM80,000 itu, UUM berjaya menyediakan 1000 kotak bantuan berupa barangan keperluan seperti beras, milo, minyak masak dan barangan penjagaan diri.

 

Di samping itu, UUM juga telah melancarkan Tabung Bencana Banjir pada Disember tahun lalu bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di beberapa negeri yang terjejas akibat bencana tersebut.

 

Bagi memastikan kelancaran penghantaran kotak bantuan itu, Persatuan dan Kesatuan di UUM iaitu Kesatuan Kakitangan Universiti Utara Malaysia (KESKA), Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional (Tadbir & Ikhtisas) (PERPATI) dan Persatuan Setiausaha (SETIA) telah menyelaraskan secara bersepadu aktiviti gotong-royong menyediakan kotak bantuan bencana untuk mangsa banjir di Johor pada minggu lalu.

 

Bermula pada Isnin, lebih 60 staf UUM terdiri ahli KESKA, PERPATI dan SETIA berganding bahu dan menyumbang tenaga menyediakan kotak bantuan tersebut selama tiga hari di Dewan Tan Sri Othman.

 

Sebanyak tiga lori digerakkan membawa kotak bantuan tersebut yang diserahkan kepada penduduk yang menjadi mangsa banjir di selatan tanah air.