Saturday, 11 December 2021 16:23

MAJLIS KEMUNCAK SAMBUTAN HARI ALUMNI UNIVERSITI AWAM MALAYSIA

Berita dan gambar oleh: Siti Nor Faizah Mohd Basir

UUM ONLINE: Serdang - Majlis Kemuncak Sambutan Hari Universiti Awam Malaysia telah diadakan pada 8 Disember 2021 bertempat di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Majlis yang bertujuan meraikan ulang tahun pertama penubuhan  Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia ini dianjurkan dengan bertemakan alumni universiti awam dalam kebersamaan. Pemilihan tema ini  adalah untuk menggambarkan alumni universiti awam sebagai suri teladan dan agen perubahan yang banyak menyumbang idea, kepakaran, tenaga dan pendanaan kepada pembangunan kecemerlangan universiti tercinta.

Majlis telah dirasmikan oleh Encik Ahmad Rizal Adnan, Pengarah Bahagian Governance IPTA Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi.

Dalam ucapan perasmiannya, Ahmad Rizal menyatakan bahwa majlis seperti ini dapat mengukuhkan interaksi dan penglibatan antara alumni dan universiti.

Tambah beliau, majlis ini juga dapat mendorong alumni untuk terus mendampingi universiti demi kelangsungan pembangunan dan pemerkasaan sesebuah universiti, sekaligus dapat mengangkat imej pengajian tinggi negara.

Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia atas penganjuran Sambutan Hari Alumni Universiti Awam 2021 buat julung-julung kalinya.

Sementara itu, majlis turut diserikan dengan gimik pelancaran dua buah projek daripada universiti awam iaitu Alumni Information System (AIS) oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dan UUM Alumni Privilege Card daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) yang pastinya akan memberi manfaat kepada alumni.

Turut hadir, timbalan - timbalan naib canselor, pengarah - pengarah pusat alumni serta pegawai - pegawai dari semua universiti awam Malaysia.