Sunday, 19 September 2021 08:53

TAHNIAH! UUM KEKALKAN KEDUDUKAN DALAM THE WORLD UNIVERSITY RANKINGS BY SUBJECT 2022 (PHYSICAL SCIENCES: MATHEMATICS & STATISTICS)

UUM ONLINE: Alhamdulillah, sekali lagi Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya mengekalkan kedudukan dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings by Subject 2022 untuk Physical Sciences: Mathematics & Statistics.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga UUM khususnya Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) yang dipimpin oleh Dekan, Prof. Madya Dr. Mohd Kamal Mohd Nawawi di atas kejayaan ini.

Selain itu, beliau juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Institut Pengurusan Kualiti (IPQ) selaku sekretariat agenda ranking UUM dan semua pusat pengajian dan pusat tanggungjawab yang menyumbang kepada kejayaan tersebut sama ada secara lansung atau tidak langsung.

“Marilah kita terus meningkatkan lagi usaha untuk melonjakkan nama universiti tercinta ini di persada antarabangsa khususnya dalam aspek ranking.

"Namun ranking adalah hasil akhir kepada apa yang diusahakan. Matlamat utama kita ialah mencapai kecemerlangan dalam apa juga yang dilakukan. Sekiranya kita cemerlang dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan serta penerbitan, pasti ranking universiti juga akan turut melonjak sama,” katanya.

Prof. Dr. Haim Hilman berkata, sudah menjadi tanggungjawab semua untuk menempatkan diri di kedudukan terbaik dalam setiap subjek ranking yang berpotensi untuk disenaraikan. Menurut beliau, sesungguhnya tiada siapa yang dapat menghalang kemaraan UUM untuk menjadi sebuah universiti terbaik iaitu bukan sahaja di dalam negara, malah di peringkat serantau dan antarabangsa suatu hari nanti.

Tambahnya lagi, kunci kepada kejayaan ini adalah terus bersatu, saling menghormati dan berani untuk membuat perubahan. “Kita jangan sesekali berasa selesa dengan setiap kejayaan dikecapi tetapi sebaliknya perlu sentiasa mempunyai pandangan iaitu apa yang dicapai sebagai masih belum berada pada tahap terbaik.

“Semoga kejayaan dan pencapaian ini akan terus menjadi inspirasi kepada kita semua untuk melakukan yang terbaik bukan sahaja demi universiti, tetapi negara seperti yang disarankan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato Seri Dr. Noraini Ahmad yang mahukan semua IPT di Malaysia terus berusaha meningkatkan kecemerlangan universiti masing-masing,” katanya yang turut menyeru seluruh warga UUM untuk mendukung agenda Gagasan Akademia & Admin Holistik (GAGAH) 2021-2025 bagi memastikan kecemerlangan dan kejayaan universiti hasil sokongan dan kerjasama erat semua.

Pada pengumuman rasmi jam 7 malam semalam, UUM disenaraikan di kedudukan 601-800 bagi subjek Physical Sciences: Mathematics & Statistics. 

Times Higher Education World University Rankings by Subject mengguna pakai 13 indikator yang dikategorikan dalam lima kategori utama iaitu Teaching: the learning environment; Research: volume, income and reputation; Citations: research influence; International outlook: staff, students and research dan Industry income: innovation.

Pemberat bagi setiap subjek berkemungkinan berbeza antara satu dengan yang lain. Dua kriteria yang menentukan kelayakan memasuki ranking subjek dalam THE adalah hasil penerbitan dalam disiplin ilmu berkenaan dan jumlah staf akademik yang berkelayakan untuk disiplin ilmu tersebut.

Keputusan penuh boleh dilihat menerusi portal https://www.timeshighereducation.com/world-university-rankings/by-subject