Friday, 03 September 2021 13:06

PROMOSI PROGRAM MBA OYAGSB TARIK RAMAI AHLI INDUSTRI

UUM ONLINE: Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) telah menjadi pilihan utama SME Bank dan Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (KDEBWM) untuk menaja penuh staf mereka bagi melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Inisiatif penjenamaan semula program berkenaan yang dilakukan OYAGSB itu adalah langkah yang sangat baik bagi permulaan kerjasama dengan pihak industri dalam penawaran program sarjana.

Seramai 15 staf dari SME bank dan lima staf dari KDEBWM telah terpilih untuk mengikuti program ini selepas melalui saringan yang dijalankan organisasi terbabit dan OYAGSB.

Program MBA tersebut menyerlahkan kedudukan OYAGSB yang merupakan satu-satunya sekolah perniagaan di Malaysia yang tersenarai dalam QS Global MBA Ranking.

Kerjasama OYAGSB dengan industri secara tidak langsung dapat meluaskan jaringan dengan pihak industri, sekali gus menyerlahkan lagi kewujudan atau ‘visibility’ OYAGSB di kota metropolitan Kuala Lumpur dan pada masa sama dapat merealisasikan hasrat menjadikan UUMKL dan OYAGSB sebagai Crown Jewel UUM.

Provos OYAGSB, Prof. Dr. Hassan Abu Bakar berkata, program MBA yang ditawarkan OYAGSB adalah berbeza dari yang lain melalui pengaplikasian kaedah ‘experiential learning’ mengikut matlamat OYAGSB iaitu ‘distinctively different’ dan semua pelajar diharap dapat mengaplikasikan teori di dalam kelas ke tempat kerja dan sebaliknya.

Pelajar yang berjaya telah menerima surat tawaran menerusi majlis secara maya yang disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Shahimi Mohtar.

Turut serta, Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir; Ketua Kumpulan Pegawai Modal Insan, SME Bank, Cik Puan Sainursalwa Sani dan pegawai tertinggi KDEBWM dan SME Bank serta kumpulan pengurusan dan Resident Faculty OYAGSB.