Thursday, 15 July 2021 16:15

PENGLIBATAN ALUMNI RANCAKKAN PEMBANGUNAN UNIVERSITI

Written by

Oleh: Samsudin Oli Mohamed

Gambar Oleh: Shamsaimi Ezil

PENGLIBATAN ALUMNI RANCAKKAN PEMBANGUNAN UNIVERSITI

UUM ONLINE: SINTOK – Penglibatan alumni dalam menyokong dan memberi sumbangan secara sukarela kepada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) amat penting untuk mengekal dan merancakkan pembangunan institusi selaras dengan kehendak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dato’ Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, langkah Pusat Alumni UUM yang membangunkan sistem Alumni Management Information System atau AMIS ini sangat tepat pada masanya sebagai satu usaha yang menyokong  pemerkasaan teknologi maklumat dalam pengurusan universiti.

“Sistem ini diharap dapat dijadikan sebagai platform untuk pengemaskinian data 146,810 alumni UUM supaya lebih teratur dan efisien,” ujar beliau ketika melancarkan AMIS secara dalam talian tengah hari tadi.

 

Katanya sehingga Februari 2021 hampir 4,000 alumni telah mengemas kini maklumat kerjaya mereka melalui sistem ini dan berharap bilangannya akan terus bertambah sekali gus dapat membantu pihak universiti membangunkan pelbagai strategi yang dapat manfaatkan oleh pihak alumni, pelajar serta UUM, khasnya.

Prof. Dr. Ahmad Bashawir menambah perkongsian pengalaman mereka juga diharap dapat membantu pelajar di kampus dan sumbangan dalam bentuk kewangan dan lain-lain pastinya dapat melestarikan pembangunan universiti ini kelak.

Pengurusan UUM berharap alumni yang berjaya ini juga akan menjadi Ikon atau tonggak dalam inspirasi dikalangan pelajar universiti ini kerana ramai yang telah mencipta nama dan kejayaan baik dalam bidang keusahawanan, kerjaya atau memegang jawatan dalam pelbagai sektor kerajaan, swasta, pertubuhan termasuk mereka yang telah menempa nama sebagai selebriti dan sebagainya.

Alumni sebeginilah yang menjadi tokoh teladan yang berkesan dan mudah diterima oleh pelajar di universiti untuk membantu mereka secara tidak langsung agar prestasi UUM sentiasa melangkau ke hadapan termasuk memperbaiki kedudukannya pada peringkat yang tinggi di Asia mahupun di dunia.

Dalam pada itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Madya Dr. Hendrik Lamsali yakin dalam tempoh tiga tahun nanti pastinya pencapaian serta impak AMIS ini dapat dilihat dalam peningkatan keterlibatan alumni dalam program penglibatan sosial, sumbangan berbentuk kewangan, membantu meningkatkan kadar kebolehpasaran pelajar, peningkatan wakaf serta endowmen universiti yang dapat membantu meningkatkan kadar permohonan untuk program Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Lanjutan.

“Untuk mencapai objektif AMIS ini diharap alumni dapat memberi sokongan dengan penyertaan mereka agar bersama-sama universiti ini untuk melonjakkan ke status Universiti Pengurusan Terkemuka di dunia nanti,” katanya lagi.

Pelancaran AMIS oleh Naib Canselor UUM ketika negara dilanda wabak COVID-19 ini diharap dapat memantapkan lagi usaha untuk membangunkan universiti dalam pelbagai aspek untuk bersaing dengan lebih baik di persada dunia.