Oleh: Nordiana Shafiee
Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie
UUM ONLINE: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ‘Outreach’ Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Universiti Utara Malaysia (UUM) mensasarkan pemberian vaksin Covid-19 sebanyak 2,500 dos sehari bagi membantu mempercepatkan proses vaksinasi penduduk di daerah Kubang Pasu, khususnya.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, PPV ‘Outreach’ IPT UUM yang mendapat kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu hanya akan beroperasi pada hari ini, 13 dan 14 Ogos serta tiga hari lagi untuk dos kedua atau apabila diarahkan kerajaan.
Menurutnya, bagi menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), PPV ‘Outreach’ IPT UUM akan beroperasi di Dewan Mu’adzam Shah, UUM yang mana ia mampu menampung kapasiti 2,500 orang penerima sehari.
Selain itu, katanya, bagi melancarkan lagi proses penvaksinan, UUM turut menghantar petugas kesihatan dari Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Jabatan Keselamatan Universiti dan sukarelawan terdiri staf dan pelajar UUM bersama petugas kesihatan KKM, selain menyediakan kemudahan teknikal lain.
“Dengan kekuatan 70 petugas klinikal KKM dibantu petugas PKU dan pusat tanggungjawab lain termasuk sukarelawan UUM dan NGO, kita yakin mampu melaksanakan pemberian vaksin untuk tiga hari tersebut bagi bulan Ogos dan Oktober depan.
“Malah, saya juga bersedia untuk membantu KKM terutamanya kerajaan negeri Kedah dalam proses vaksinasi akan datang sekiranya dibenarkan untuk meningkatkan pemberian 3500 dos sehari,” katanya.
Tambah beliau lagi, uniknya PPV ‘Outreach’ IPT UUM adalah bertemakan ‘Cyntok Bhatik’ yang mana kios foto (photo booth) menonjolkan elemen batik, selain petugas dan sukarelawan yang turut mengenakan pakaian bercirikan seni budaya seperti batik, destar dan baju kurung Kedah, selain tayangan video berkaitan budaya dan pendidikan.
Di samping itu, Naib Canselor berkata, beliau berharap pembukaan PPV ‘Outreach’ IPT UUM akan menyumbang kepada usaha kerajaan untuk misi mencapai imuniti kelompok di seluruh negara dengan segera dan pada masa sama membantu kerajaan negeri Kedah untuk melaksanakan proses vaksinasi secara ‘outreach’ di semua daerah.
Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Yang Amat Berhormat Muhammad Sanusi Md Nor dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kayu Hitam, Halimaton Shaadiah Saad turut hadir melawat PPV ‘Outreach’ IPT UUM pagi tadi.
Penerima vaksin, Ahmad Radzuan Ramali dari Jitra berkata, pembukaan PPV di UUM ini sangat memudahkan serta mempercepatkan kerja pemberian vaksin kepada rakyat, khususnya di Kubang Pasu.
Menurutnya, dia berpuas hati dengan kemudahan disediakan UUM termasuk petugas yang sangat mesra dan sangat membantu serta kepantasan pemberian vaksin.
Ahmad Radzuan dari Jitra yang hadir berkerusi roda akibat menghidap penyakit kencing manis itu ditemani anaknya, Amiruddin Khairi menerima vaksin dos pertama.