Wednesday, 26 May 2021 13:25

ALUMNI UUM KONGSI ILMU PENGURUSAN KOPERASI

Written by

Berita dan gambar oleh: Pusat Pengajian Pendidikan



UUM ONLINE:
Seramai 57 pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) bagi kursus SGME2013 Entrepreneurship and Co-operative Management telah menyertai sesi perkongsian Pengurusan dan Tatacara Pendaftaran Koperasi anjuran Pusat Pengajian Pendidikan (SoE) secara atas talian melalui Webex, baru-baru ini.

Sesi perkongsian kali ini melibatkan alumni program ISMP Pengurusan Perniagaan (2003), Anney Zaharazilah yang kini berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri, Kelantan. 

Menurut Cikgu Anney, banyak pengalaman dan kenangan yang diperoleh sepanjang menguruskan koperasi sekolah termasuk peluang berurusan dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia, malah turut terlibat dalam beberapa projek keusahawanan dan inovasi di sekolah.

 

Sesi perkongsian bersama alumni selama dua jam itu berkongsi maklumat penting seperti langkah-langkah dalam organisasi koperasi, objektif penubuhan koperasi, kuasa dan kapasiti koperasi, proses pendaftaran koperasi, dan tanggungjawab, hak dan keistimewaan anggota koperasi.

Cikgu Anney menutup sesi perkongsian tersebut dengan meminta pelajar sentiasa merujuk kepada Angkasa kerana agensi tersebut merupakan one-stop-centre untuk semua aktiviti pembangunan perniagaan dan khidmat nasihat mengenai tadbir urus dan kewangan koperasi sekolah dan pengajian tinggi. 

Selain itu, maklumat-maklumat lain berkenaan dengan pengurusan koperasi juga boleh didapati di Suruhanjaya Koperasi Malaysia. 

Sementara itu, pensyarah kursus, Prof. Madya Dr. Norazlinda Saad berkata, Cikgu Anney memulakan kerjaya sebagai seorang guru di SMK Bandar Putra, Segamat, Johor dan mempunyai pengalaman luas dalam menguruskan koperasi sekolah apabila dilantik memegang jawatan sebagai Setiausaha Koperasi Sekolah selama 14 tahun. 

“Kita bangga apabila alumni UUM dapat berkongsi ilmu dan pengalaman mereka dalam bidang berkaitan bersama pelajar-pelajar. In sha Allah, program sebegini akan diteruskan lagi pada masa akan datang sebagai perkongsian bersama,” katanya.