Sunday, 30 May 2021 12:12

ALUMNI KONGSI ILMU BERSAMA PELAJAR KURSUS SGDK3832

Written by

Berita dan gambar oleh: Pusat Pengajian Pendidikan (SoE)

 

UUM ONLINE: Perkongsian alumni UUM dari program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dengan Pendidikan (2009), Cikgu Muhammad Hamzi Ismail tentang ‘Pentaksiran dalam Subjek Perniagaan’ telah memberi ilmu baru kepada pelajar-pelajar kursus SGDK3832 Pedagogi Pengurusan Perniagaan dari Pusat Pengajian Pendidikan (SoE). 

 

Perkongsian selama 3 jam telah memberi input yang bermakna kepada pelajar tentang kaedah pentaksiran dan panduan penyediaan soalan subjek Perniagaan.

Cikgu Hamzi memulakan sesi perkongsian dengan menceritakan pengalamannya sebagai guru subjek Perniagaan. Beliau menegaskan bahawa bakal guru perlu mempunyai persediaan untuk menghadapi subjek Perniagaan di sekolah iaitu dari segi stigma dan pendirian.

Menurutnya, pelajar perlu menguasai isi kandungan subjek Perniagaan dan mahir dalam menyampaikan isi pengajaran dengan berkesan.

 

Beliau menerangkan tentang Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Subjek Perniagaan, Format Pentaksiran dan Panduan Pembinaan Item untuk Peperiksaan SPM.

Cikgu Hamzi menasihatkan pelajar-pelajar bahawa subjek Perniagaan diperkenalkan untuk melahirkan pelajar yang bersedia ke arah kepenggunaan keusahawanan dan menjadi pekerja yang kompeten.

“Ilmu yang dipelajari dalam subjek Perniagaan secara tidak langsung dapat membantu pelajar untuk menyesuaikan diri dengan keperluan ‘open market’, jadi pelajar berpeluang mewujudkan kerjaya sendiri dengan menjadi usahawan,” katanya.

Sementara itu, pelajar kursus SGDK3832, Chuah Xin Qian berkata, melalui sesi perkongsian yang diadakan telah memberi gambaran awal kepada dia untuk membuat persediaan tentang subjek Perniagaan.

 

Katanya, pensyarah juga menggunakan kaedah pengajaran yang kreatif dengan menjemput penceramah yang merupakan pakar bidang untuk berkongsi pengalaman dengan pelajar.

Ainatul Mardhiah pula menambah bahawa perkongsian tersebut seolah-olah membawa pelajar kursus ini ke sesi taklimat penyediaan soalan SPM.

Pensyarah kursus SGDK3832, Prof. Madya Dr. Norazlinda Saad berkata, Cikgu Muhammad Hamzi merupakan alumni UUM dan mula berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Besar, Gemas (Julai 2009 - Mei 2015) dan seterusnya di SMK Raja Jumaat, Port Dickson (Jun 2015 - sekarang).

 

Beliau berpengalaman luas dalam subjek Perniagaan yang mana beliau telah dilantik sebagai Jurulatih Utama Kebangsaan Mata Pelajaran Perniagaan mulai tahun 2016, Penyampai Didik TV Mata Pelajaran Perniagaan dan Penceramah Bengkel Kecemerlangan Perniagaan SPM.

Rata-rata pelajar kursus ini menyokong usaha membawa penceramah yang merupakan alumni pusat pengajian untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran bersama pelajar.