Selain itu juga, UUM turut membuat kutipan dan mengedarkan bantuan kepada penduduk sekitar yang terjejas di Napoh semasa Kluster Sivagangga dan Kluster Sungai di Kota Setar, selain mengedar 200 pek bantuan termasuk kit makanan kepada anggota polis bertugas di sekatan jalan raya (SJR) dan pengamal media.
UUM juga telah menawarkan geran Covid-19 Pandemic Research Funding (ResQ-COVID-19) kepada ahli akademik berjumlah lebih RM100,000 bagi menggalakkan kajian kesan pandemik terhadap masyarakat dan negara.
Bagi memastikan suasana pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang selamat kepada pemegang taruh utama Universiti iaitu pelajar, kaedah secara maya atau ‘remote learning’ telah dilaksanakan dengan jayanya sejak tahun lalu.
Bagi tujuan tersebut juga, UUM telah bekerjasama dengan Telekom Malaysia (TM) Berhad dengan menawarkan pakej khas Unifi Mobile pada harga rendah bagi membolehkan pelajar meneruskan sesi pembelajaran dengan lancar.
Pada tahun ini, prihatin dengan kekangan yang dihadapi pejuang barisan hadapan di daerah Kubang Pasu dalam berdepan wabak Covid-19, UUM telah meminjamkan kenderaan universiti kepada Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu bagi membawa pesakit kes Covid-19 di daerah ini ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani ketika mengulas perkara ini memaklumkan sebuah bas dan dua van dipinjamkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah ini selama tiga bulan mulai 25 Mei lalu hingga Ogos depan untuk membawa pesakit ke PKRC di Kulim, Sungai Petani, Kuala Nerang dan yang akan digazetkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Selain itu, menurutnya, Pejabat Kesihatan Daerah ini juga telah memohon untuk menggunakan dewan di Taman Siswa, Jitra untuk Program Vaksinasi Penduduk ‘Buffer Zone’ Bersebelahan Kawasan PKPD Taman Mahsuri yang diadakan semalam.
Katanya, UUM juga akan menyediakan sukarelawan bagi membantu kelancaran proses suntikan vaksin di sekitar kawasan Kubang Pasu nanti.
Di samping itu, tidak dilupakan pemberian 10,000 pelitup muka kepada calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 bagi daerah Kubang Pasu di Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun pada Februari lalu.
“Pihak universiti amat berbesar hati kerana dapat membantu memudahkan urusan petugas barisan hadapan (frontliner) ini ketika angka kes saban hari semakin meningkat.
“Pada masa sama, saya sentiasa mengingatkan semua warga kampus agar melakukan sekatan pergerakan kendiri atau ‘self-lockdown’ bagi mengekang penularan wabak Covid-19. Jangan jadikan diri kita sebagai punca penularan virus ini,” katanya.

