Thursday, 15 April 2021 10:57

37 TAHUN UUM ‘WE ARE GLOBAL NOW!

Written by
UUM ONLINE: Siri Biskut Kering Kopi O’ anjuran Bahagian Pemasaran menutup tirai dengan kehadiran Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani di Manager’s Coffee yang disiarkan secara langsung di Facebook rasmi UUM, kelmarin.
“We are global now!,” kata beliau ketika memulakan bicara apabila mengekspresikan kejayaan yang dikecapi UUM sekarang.
Beliau berkata, perkembangan ini sangat baik, malah staf dan pelajar juga semakin matang seiring dengan usia UUM yang ke-37.
 
Menurutnya, banyak yang dilalui dari zaman sukar seperti ketiadaan capaian internet namun kini pelbagai perubahan demi perubahan dinikmati.
 
“Kita telah berada di pelosok dunia dan tidak hilang dari radar dunia. Banyak lagi ruang untuk penambahbaikkan kerana universiti bukan sebuah institusi yang statik begitu juga dengan sistem pengurusan.
“Oleh itu, saya telah berbincang bersama rakan-rakan pengurusan serta pentadbir tinggi untuk melakukan pengubahsuaian sistem menerusi setiap jabatan agar menjadi yang terbaik,” katanya.
 
Naib Canselor juga meminta agar setiap bahagian jabatan dan warga kampus lebih kreatif dalam menguruskan sistem pengurusan supaya dapat kekal relavan dan mampu bersaing dengan universiti lain di masa hadapan.
Menurutnya, UUM telah mencapai satu tahap yang membanggakan dan beliau percaya pada masa akan datang UUM akan menarik lebih ramai pelajar dengan dibantu infrastruktur yang tepat.
 
“Pandemik ini telah memberi kesan kepada semua, kita tidak tahu apa akan terjadi esok dalam berhadapan dengan sistem pentadbiran yang baharu akibat situasi pandemik yang melanda dunia pada waktu ini.
“Kita perlu sentiasa bersedia dan menggambarkan akan situasi yang mungkin akan terjadi di masa hadapan agar dapat menghadapinya dengan tenang. Ini merupakan antara ciri-ciri yang perlu diselami seseorang individu dalam melahirkan pemimpin yang baik iaitu mampu mengatasi sebarang cabaran dengan mencari solusi yang tepat,” katanya.
 
Mengulas tentang perancangan masa hadapan UUM dalam berhadapan dengan situasi pandemik, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir berkata, universiti perlu melabur dalam digital teknologi agar dapat menghadapi cabaran dengan lebih cekap dan mampu mengurangkan kos.
 
Kedua, menurutnya, penjenamaan UUM harus dijalankan dengan lebih agresif dalam mempromosi UUM di tahap tertinggi dan bergerak ke arah konglomerat. Penjenamaan ini harus dilaksanakan secara antarabangsa yang dimulakan di rantau Asia agar dikenali di seluruh dunia.
“Saya berharap lima tahun yang akan datang, UUM mampu mengembangkan rangkaiannya sehingga ke luar negara serta mampu untuk menjadi sebuah institusi yang benar-benar konglomerat,” katanya.