Oleh: Muhammad Hafizal Faiz Suhaime
Gambar oleh: Wan Mohd Iskandar Wan Ismail
UUM ONLINE: Tiada yang lebih menggembirakan bagi 30 pelajar asnaf UUM apabila Pusat Alumni telah menyampaikan sampul raya sempena menyambut kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi di Pusat Islam, baru-baru ini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Hendrik Lamsali berkata, sampul raya ini merupakan salah satu program inisiatif Pusat Alumni untuk membantu pelajar-pelajar asnaf dalam meringankan beban kos kehidupan seharian mereka di kampus terutama ketika menyambut hari raya tahun ini.
Menurutnya, pelajar perlu bersyukur dan berterima kasih kepada alumni universiti ini yang telah menyumbang kepada projek sampul raya ini.
“Anda merupakan yang terpilih dalam kalangan ribuan pelajar UUM, jadi ambillah peluang ini dan terapkan di dalam diri, apabila sudah menjadi alumni UUM, anda akan turut menyumbang semula kepada alma mater iaitu UUM sendiri seperti mana yang anda terima," katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua alumni, staf dan individu yang telah menyumbang kepada projek sampul raya ini sehingga Pusat Alumni mampu meraikan pelajar asnaf terlibat.
Katanya, beliau tidak mahu pelajar-pelajar ini merasa kekurangan ketika meraikan Aidilfitri dan berharap dengan sumbangan sampul raya tersebut mampu mengukir senyuman di wajah mereka.
Turut hadir staf dan ahli keluarga Pusat Alumni, alumni UUM iaitu pemilik MRE Expert Techno Centre, Mohd Iqbal Muhamad dan pensyarah Kolej Matrikulasi Kedah, Mohd Faizul Nizam Ghazali.