Oleh: Mohd Amir Aizat Sainon
Gambar oleh: SELECT UUM
UUM ONLINE: Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM), Dick Lim Yew Teck yang juga Rakan Pengurusan dan Pengasas Bersama Foodabox Dot Com Sdn. Bhd. telah dipilih sebagai penerima Anugerah Pencapaian Keusahawanan 2021 (Entrepreneurial Achievement Award) oleh Beta Gamma Sigma (BGS), sebuah persatuan penghormatan akademik antarabangsa yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Dicalonkan oleh BGS Chapter UUM, Yew Teck menerima pengiktirafan tersebut berdasarkan kecemerlangan kepimpinan yang ditunjukkannya.
Anugerah Pencapaian Keusahawanan Beta Gamma Sigma ini mengiktiraf individu yang membangun, mengurus dan meningkatkan usaha niaga yang baharu dengan berjaya.
Mengulas kejayaan itu, Yew Teck merakamkan ucapan terima kasih kepada BGS Chapter UUM kerana sudi mencalonkan namanya dan mengiktiraf usaha yang dilakukannya.
"Saya amat berbangga dapat mengharumkan nama baik universiti dan berharap pencapaian yang amat bermakna ini menjadi bukti kemampuan UUM dalam menghasilkan bakat besar yang boleh menyumbang kembali kepada masyarakat," kata graduan Sarjana Muda Keusahawanan dengan mendapat Kepujian Kelas Pertama pada 2015.
Yew Teck mempunyai minat mendalam dalam bidang keusahawanan juga merupakan penerima Pingat Emas Naib Canselor, Pingat Emas Timbalan Naib Canselor dan Pingat Emas Keusahawananan pada Majlis Konvokesyen UUM.
Syarikat yang dibangunkannya, Foodabox telah menjadi salah satu pengeluar pembungkusan makanan yang berkembang pesat di Malaysia, menawarkan produk dan perkhidmatan kepada pelanggan iaitu sebuah syarikat yang menjana pendapatan lebih dari RM100 juta setahun.
Sejak ditubuhkan pada 2014, Foodabox telah mengedarkan lebih dari 8 juta pembungkusan lestari, mengitar semula lebih dari 5 tan sisa kertas dan menyokong pelanggan yang memerlukan pelbagai produk dengan menyediakan pembungkusan makanan yang unik dan direka oleh pakar untuk pelbagai industri, termasuk makanan dan minuman, hospitaliti serta syarikat penerbangan.
Chapter BGS layak mencalonkan individu untuk Anugerah Pencapaian Keusahawanan berdasarkan kriteria seperti usahawan yang membangun, mengurus dan melancarkan usaha niaga yang baharu dengan berjaya atau usaha keusahawanan sosial yang melalui hasil operasinya terbukti menjadi konsep yang lestari.
Penerima anugerah utama ini telah mengambil risiko memulakan perniagaan atau usaha niaga/ idea baharu di dalam organisasi yang lebih besar bertujuan memberi fokus kepada usahawan-usahawan yang merupakan pihak yang memacu inovasi dan menyokong idea-idea baharu.
Antara tokoh yang pernah menerima pengiktirafan ini ialah Pengasas Danimation Entertainment, LLC, Danielle ‘Dani’ Bowman; Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif/Pengerusi Lembaga Pengarah, Essent Group Ltd., Mark A. Casale dan Presiden Rhino Foods & The Rhino Foods Foundation, Ted Castle.

