Oleh: Faizatul Fauzi
Gambar Oleh: Hafizal Faiz
Kuala Lumpur– Seramai 37 Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) mengadakan pertemuan dengan Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Datuk Muzammil Mohammad dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (TNC), Prof Madya Dr Hendrik Lamsali di He & She Coffee Universiti Malaya baru-baru ini.
Pertemuan yang penuh dengan nostalgia itu berlangsung di He & She Coffee (Cawangan Universiti Malaya) milik Encik Zulkiflee Yusof, alumni Sarjana Muda Perakaunan tahun 1998.
Menurut Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof Madya Dr Lily Julienti Abu Bakar pertemuan ini diadakan bagi merapatkan hubungan alumni dengan pihak Universiti serta menyampaikan penerangan fungsi dan hala tuju Pusat Alumni UUM kepada semua yang hadir.
Turut hadir dalam majlis ini adalah Datuk Mazlan Zainal dan Encik Nasiruddin yang merupakan antara 300 orang pelajar terawal UUM serta Mantan Pengetua Taman Siswa Jitra yang pertama, Datuk Abu Seman Awang.
Dalam pertemuan itu juga, Datuk Muzammil Mohammad yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) yang pertama dari kalangan alumni UUM, turut menyeru kepada semua alumni untuk menyumbang kembali kepada Alma Mater mereka dalam apa jua cara, seperti mengadakan kempen “1 Alumni 1 Ringgit” dan sebagainya.
Pada akhir pertemuan tersebut, Pusat Alumni menerima sumbangan sebanyak RM1000 daripada alumni yang hadir.
Tonton video : https://youtu.be/LN6SAoqRHtg

