Pertemuan itu diadakan bagi menjalinkan kerjasama dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan dari UUM dan pada masa sama membincangkan tentang Talent Pipeline Academy Program atau ‘Shukatsu’ yang membolehkan pelajar yang memenuhi kriteria atau syarat yang ditetapkan terpilih atau diserapkan ke LHDN nanti.
Dr. Hendrik berkata, program penyediaan bakat UUM (Shukatsu) itu adalah inisiatif futurisasi tenaga kerja yang bertujuan untuk menghasilkan bakat siap industri yang disesuaikan dengan keperluan rakan industri.
Menurutnya, program yang diilhamkan oleh Shusoku Katsudo dari Jepun itu adalah bagi memburu bakat muda seawal semester empat bagi melatih mereka mengikut kehendak dan keperluan syarikat yang merangkumi penglibatan dalam industri, program peningkatan kemahiran dan keterikatan industri, sekali gus mengambil mereka bekerja sebaik sahaja proses pembelajaran tamat dan lulus.
“Peluang sebegini perlu diketengahkan agar dapat merapatkan jurang antara universiti dan industri yang akan membawa kepada peningkatan kebolehpasaran graduan dan mempercepat kesediaan pelajar untuk menyertai industri.
“Malah, UUM juga sentiasa terbuka dan mengharapkan peluang diberikan kepada pelajar untuk menyertai mana-mana program asalkan mereka diberikan tempat untuk menjalani latihan industri nanti,” katanya.
Beliau yakin usaha untuk memperkasakan program yang dirancang dalam pertemuan tersebut dapat direalisasikan kerana Dato' Sri Dr Sabin merupakan antara alumni UUM.
Perbincangan itu turut disertai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan), Dato’ Dr. Sotimin Muhalip; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar), Abu Tariq Jamaluddin dan Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar.

