Pada majlis menghadap itu, Naib Canselor menyembah maklum beberapa perkara, antaranya Majlis Konvokesyen Khas Pengurniaan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pentadbiran dan Pembangunan Awam) kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tuanku Sultan Kedah Sempena Hari Pengasasan Universiti ke-37 dan Istiadat Pemasyhuran Pro-Canselor baharu yang dijadualkan pada Februari depan.
Selain itu, beliau menyembah maklum tentang Majlis Pemasyhuran Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin oleh Tuanku Sultan Kedah dan tempoh lantikan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Pro-Canselor I.
Naib Canselor juga menyembah maklum tentang pelantikan Timbalan-timbalan Naib Canselor baharu iaitu Prof. Dr. Shahimi Mohtar sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi).
Di samping itu, beliau menyembah maklum tentang perkembangan terkini UUM dalam senarai badan penarafan antarabangsa iaitu Times Higher Education (THE) World University Rankings dan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings, perpindahan pejabat OYAGSB ke Kuala Lumpur, pengekalan 5 Bintang dalam Penarafan SETARA 2018/2019, Pasukan Advokasi dan Mut UUM Johan Pertandingan The 17th International Humanitarian Law Moot Court Competition 2020 National Rounds, pelajar UUM anak Kedah dari golongan B40 terima sumbangan komputer riba dan pelan data serta pelancaran Pelan Strategik UUM Fasa III: 2021-2025.

