Monday, 20 July 2020 09:45

TITAH UCAPAN KHAS DULI YANG TERAMAT MULIA TUANKU RAJA MUDA KEDAH, TUANKU PRO-CANSELOR 1 KEPADA ALUMNI UUM

Written by

 

Bismillahirahmanirahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera kepada semua warga alumni UUM.

Alhamdulillah, Saya bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan limpah kurnia-Nya jua, maka kita masih dapat terus menjalani kehidupan seharian walaupun dalam keadaan sedang diuji dengan penularan wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini sudah memasuki Fasa Keempat.

Wabak penyakit COVID-19 sememangnya telah memberi impak kepada semua lapisan masyarakat di Malaysia. Namun, kegawatan ini juga telah menyerlahkan semangat kasih sayang dan saling membantu di kalangan segenap lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan budaya, khususnya kepada petugas barisan hadapan (frontliners) yang sedang bertungkus lumus menangani pandemik COVID-19.

Saya percaya pihak universiti juga sedang melakukan usaha terbaik bagi memastikan kampus UUM bebas daripada virus ini dan pada masa yang sama, turut memberi tumpuan menjaga kebajikan ribuan para pelajar yang masih berada di dalam kampus, kakitangan universiti dan juga alumni UUM yang memerlukan bantuan.

Saya amat berbangga kerana UUM menyokong usaha petugas barisan hadapan walaupun terpaksa mengharungi pelbagai kesukaran. Melalui kerjasama banyak pihak yang melibatkan pelajar, kakitangan dan sukarelawan luar, UUM telah berjaya menghasilkan peralatan perlindungan diri (PPE) pakai buang yang terdiri dari jubah (gown), pelindung muka (face shield) dan juga pembersih tangan (hand sanitizer) untuk kegunaan petugas di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan Hospital Sultanah Maliha (HSM) di Langkawi.

Peralatan PPE tersebut telah dihasilkan di Pusat Kokurikulum dan di makmal ‘Food Security, Innovation and Development’ (Lab FinDER), UUM oleh sukarelawan UUM. Setakat ini, mereka telah berjaya menghasilkan 1,200 helai dari jumlah keseluruhan 8,000 helai jubah pakai buang menggunakan ‘Hydrophobic Non-Woven Fabric’ yang dibekalkan, 3,000 botol pencuci tangan dan 200 helai penutup muka. Saya dimaklumkan, bagi menghasilkan baki jubah sebanyak 6,800 dalam masa yang singkat, pihak universiti memerlukan sumbangan sebanyak sepuluh (10) buah mesin menjahit bagi memenuhi permintaan tinggi dari petugas barisan hadapan yang menggunakan antara 700-1,000 helai jubah PPE setiap hari.

Pelaburan dalam pembelian mesin jahitan tersebut juga akan dapat menjana banyak limpahan faedah jangka masa panjang bukan sahaja kepada para pelajar Pusat Kokurikulum di universiti, malah kepada golongan B40 dan ibu tunggal di negeri Kedah yang sedang mengikuti beberapa program keusahawanan anjuran UUM seperti kelas menjahit dan sebagainya.

Saya yakin, sokongan dari warga alumni akan menjadikan tugas ini lebih mudah dan dapat mendekatkan UUM di hati masyarakat. Justeru itu, dalam menghadapi cabaran ini, pastinya ada ruang dan peluang untuk para alumni membantu menyokong usaha murni tersebut. UUM sentiasa mengalukan sumbangan dari para alumni khususnya ke arah usaha menyediakan peralatan PPE dalam masa terdekat kepada petugas barisan hadapan, menjaga kebajikan pelajar dan juga warga alumni UUM yang memerlukan bantuan.

Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang telah banyak menyumbang kepada UUM selama ini. Saya juga mendoakan para alumni sentiasa berada di bawah lindungan Allah Subhanahu Wataala jua. Jadikanlah kesabaran dan istiqamah sebagai teman setia dalam mengharungi ujian ini dan semoga Allah Subhanahu Wataala merahmati dan melindungi kita semua, Insya-Allah.

Sekian,

Wabillahitaufik Walhidayah

Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

 

DULI YANG TERAMAT MULIA

TENGKU SARAFUDIN BADLISHAH IBNI AL AMINUL KARIM SULTAN SALLEHUDDIN

Raja Muda Kedah

Pro-Canselor I

Universiti Utara Malaysia