Sunday, 14 June 2020 14:52

SEMBANG SANTAI ALUMNI ERATKAN UKHWAH

Written by

 

Oleh: Muhammad Ehsan Madzen (Pelajar Pelatih)
Gambar oleh: Bahagian Pemasaran

UUM ONLINE: Sesi ‘Sembang Santai Kenangan Mengusik Jiwa’ menggamit kembali memori alumni UUM dari 1990 hingga 2013 yang meninggalkan banyak kenangan suka dan duka sepanjang bergelar pelajar di universiti ini.

Sesi yang dianjurkan menerusi Facebook (FB) Live itu dikendalikan Bahagian Pemasaran yang menghimpunkan wakil-wakil alumni sekitar tahun 90-an hingga 2013.

Pengarah Pemasaran, Norazlin Abd Jalil selaku moderator berkata, sesi tersebut diadakan bertujuan untuk mengeratkan ukhwah antara alumni walaupun berbeza tahun pengajian.

“Sudah pasti sukar untuk kami melupakan alam pengajian di UUM kerana zaman inilah yang membentuk diri masing-masing sehingga menjadi orang yang berjaya.

“Sesi bersama alumni UUM ini telah membuka ruang dan peluang kepada semua untuk berinteraksi dan berkongsi pengalaman semasa bergelar pelajar di Universiti Pengurusan Terkemuka ini,” katanya yang turut berterima kasih kepada Pusat Alumni, Unifilm, Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan (JPP)), UUMIT, UUM Corporate Comm. dan Welcome Centre yang telah menjayakan sesi tersebut.

Antara alumni UUM yang turut serta dalam FB Live itu ialah Pengurus Negara Qatar Airways Malaysia dan Brunei, Dato’ Muzammil Mohamad; Jurulatih bertauliah dari Lawrence Walter Seminars, Zander Iskandar; penyanyi, Neves dari Pretty Ugly dan Zulkifli Zakaria dari Intel, selain Dr. Muslimin Wallang yang merupakan Pengarah Pusat Alumni UUM.

Sembang Santai Kenangan Mengusik Jiwa Alumni itu telah mendapat 9300 capaian dengan 133 perkongsian dan rakaman sesi tersebut boleh ditonton menerusi Facebook rasmi UUM iaitu Universiti Utara Malaysia (Official FB).